Cart

RAUDHAH CITY – Sasaran pembukaan 100 Malakat Mall dan 5,000 cawangan Raudhah Grocer akan merealisasikan penguasaan 20 peratus ekonomi oleh umat Islam di negara ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzli Hashim berkata, keyakinan itu bersandarkan usaha mewujud dan memperluaskan perniagaan pasar raya serta peruncitan berkonsepkan Islam tersebut.

“Tahun 2020 sasaran kita kuasai 20 peratus ekonomi dengan Malakat Mall dan Raudhah Grocer. Tahun ini, bukan tahun depan.

“Tidak susah tuan tuan, dahulu mungkin kita tak tahu sangat sebab teknologi tak ada, pasaran kita tak ada,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Himpunan Pemilik Kedai Muslim, Pelabur Baharu dan Pemilik Produk Muslim di sini hari ini.

Pada program itu Mohd. Fadzil menandatangani memorandum persefahaman bersama Ketua Pengarah Malaysia Entrepreneur Development Centre (MEDC) Datuk Seri Ahmad Khusairi.

Mohd. Fadzil berkata, pihaknya sentiasa berusaha menyediakan manfaat untuk golongan usahawan Islam.

“Sekarang kita sudah wujudkan peluang perniagaan untuk lebih ramai umat Islam berkecimpung dalam perniagaan.

“Kalau tak mampu masuk kedai (berniaga), boleh buka gerai atau masukkan produk di Raudhah Grocer sebab kita ada kedai kelengkapan, kedai alat tulis dan hardware,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil menyeru lebih ramai usahawan mendaftar sebagai ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) dalam usaha menggandakan modal terkumpul institusi berkenaan.

” Ya mungkin melalui yuran RM100 seorang setiap bulan selama 10 tahun akan jadi RM10,000 sahaja.

“Tapi dalam perjuangan kami, nilai RM10,000 itu insya-Allah mampu dilonjakkan kepada RM1 juta,” katanya.

KoPPIM katanya, akan menjadi satu platform neutral menyatukan ummah yang mana semua ahli lembaga pengarahnya tidak menerima elaun perkhidmatan.- MT

Leave a Reply