Cart

RAUDHAH CITY – Sebanyak 1,000 Malakat Mall dijangka akan dibuka di Indonesia selepas ahli-ahli ulama negara berkenaan menunjukkan minat untuk mengembangkan ekonomi masyarakat Islam di sana.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, beliau sebenarnya telah dijemput oleh ahli-ahli ulama Indonesia bagi membentang konsep dan strategi pembangunan pusat beli belah berkenaan.

Beliau berkata, jemputan berkenaan merupakan pengiktirafan di atas segala usaha dan kerja keras yang dilakukan untuk merealisasikan penubuhan Malakat Mall bagi memastikan kebangkitan ekonomi Islam.

“Pembentangan konsep dan kertas kerja di Indonesia akan dibuat dalam masa terdekat, ini merupakan satu pengiktirafan kepada kita. Insyaallah bukan di Malaysia sahaja tetapi di Indonesia juga akan ada Malakat Mall.

“Insya-Allah, dengan kekuatan dan kesatuan serta paling penting sekali dengan doa-doa daripada semua pihak, saya amat yakin kita akan dapat apa yang kita hajati. Kita perlu ingat Allah juga ada perancangan terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Terdahulu Mohd. Fadzli menyertai prorgam Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan Ekonomi Muslim yang disertai hampir 2,000 jemaah terdiri daripada golongan ulama, pelajar tahfiz dan NGO Islam di Malakat Mall di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, selepas segala usaha dilakukan bersama para pencinta agama Islam, beliau sangat yakin kebangkitan semula para Mukmin yang akan mengembalikan kuasa ekonomi ummah.

“Memang kita ada fokus untuk meluaskan Malakat Mall di Indonesia kerana Indonesia merupakan populasi Islam terbesar dunia dan saya meletakkan sasaran 1,000 pusat belah belah itu di negara berkenaan.

“Oleh sebab itu, Malakat Mall yang pertama di Cyberjaya penting kerana ia akan menjadi contoh kepada yangb lain. Kita akan melihat prosesnya pembentangannya nanti dan saya berharap ia positif untuk membangunkan ekonomi Islam,” katanya.

Selain itu katanya, sejak awal penubuhan Brainy Bunch di negara berkenaan, pihaknya telah menyasarkan sebanyak sejuta pelajar akan mendapat pendidikan daripada Brainy Bunch pada 2030.

“Sebab itu kalau di Malaysia kita sasar 100 Malakat Mall, maka di Indonesia sasarannya 1,000 Malakat Mall sebab di negara itu, kesannya akan memberi satu kekuatan kebangkitan seluruh umat Islam yang jumlahnya hampir 2 billion,” katanya.

Pada program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan ekonomi Islam itu, Malakat Mall mencatat sejarah kerana menjadi pusat beli belah pertama yang mengadakan program seumpama itu.

Leave a Reply