Cart

CYBERJAYA 8 Jan.- Malakat Mall menawarkan secara percuma kepada mana-mana agensi kerajaan untuk membuka kaunter mereka di pusat beli belah berkenaan.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, tawaran itu dikhususkan kepada agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kaunter kepada rakyat.

Beliau berkata, secara percuma itu bermaksud agensi kerajaan tidak perlu membayar sebarang sewa dan lebih menarik bekalan elektrik serta air juga tidak perlu dibayar.

“Kita khususkan tawaran ini kepada agensi yang menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen.

“Mereka tidak perlu bayar sewa, kita akan sediakan ruang kepada mereka. Surat tawaran kepada agensi kerajaan akan dihantar dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai lokasi tawaran itu, Mohd. Fadzil berkata, ia bergantung kepada agensi kerajaan tersebut sendiri dan pihaknya bersedia memberikan ruang secukupnya.

“Jika keperluan mereka besar, kita akan berikan ruang yang besar. Malakat Mall tidak terikat dengan ruangan dalam sahaja kerana masih mempunyai banyak ruang di blok luar,” katanya.

Selain itu katanya, tawaran secara percuma itu juga adalah merupakan sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Fadzil turut mahu syarikat asing mengurangkan kepentingan dalam pasaran runcit untuk membolehkan lebih ramai usahawan Bumiputera terlibat dalam sektor peruncitan.

“Sasaran kita di Malakat Mall adalah untuk membolehkan kehadiran perusahaan Bumiputera dalam industri peruncitan ini dirasai dengan mengurangkan pemilikan asing daripada terlibat dalam pasaran,” katanya.

Ketika ini proses pengubahsuaian lot-lot kedai di ruangan dalam Malakat Mall sedang giat dijalankan dan pusat beli belah berkenaan akan dibuka kepada orang ramai pada Mac tahun ini.- MT

Leave a Reply