Cart

RAUDHAH CITY 25 Dis. – Pusat beli belah pertama BMF, Malakat Mall di sini bakal mencipta kelainan dengan menyediakan aktiviti sukan lasak terbang kelawar (zipline) pertama di Malaysia.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, aktiviti lasak tersebut merupakan antara pembaharuan yang dilakukan bagi menarik lebih ramai peminat sukan lasak atau mereka yang baru berjinak dalam sukan tersebut untuk mencubanya.

“Buat pertama kali di Malaysia pengunjung boleh merasa pengalaman mencuba aktiviti zipline yang menghubungkan dari bumbung ke bumbung bangunan kita.

“Selain itu, kita juga akan ada aktiviti papan luncur pertama di aras bumbung.
Kita mempromosi aktiviti ini bukan sahaja untuk budak-budak datang tetapi untuk seisi keluarga meluangkan masa berkualiti bersama-sama,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch berkata, meskipun pusat beli belah itu mengutamakan konsep BMF atau Buy Muslim First, barangan berjenama lain seperti yang terdapat di pusat beli belah lain juga akan dijual.

Selain itu, katanya, bagi menunaikan tanggungjawab kepada agama, pihaknya turut mewujudkan waktu rehat selama tujuh minit untuk semua peniaga dan pengunjung berhenti untuk bersolat terlebih dahulu dalam pusat beli belah itu.

Katanya lagi, apabila tiba bulan Ramadan tahun hadapan pihaknya juga telah merancang mengadakan solat sunat tarawih dan qiamulail secara berjemaah dalam pusat beli belah itu.

“Untuk bulan Ramadan ini kita telah menyediakan ruang di tingkat dua dalam Malakat Mall untuk peniaga berniaga sempena bulan Ramadan.

“Selain boleh menunaikan solat sunat terawih berjemaah, kita juga akan melanjutkan waktu perniagaan sehingga malam hari raya dan seterusnya menunaikan solat sunat Aidilfitri di dalam Malakat Mall,” katanya.

Sementara itu, beliau juga menyeru semua pihak terutamanya umat Islam bersama-sama memberi sokongan terhadap Malakat Mall yang bakal dibuka pada Mac tahun hadapan supaya ia dapat menjadi pemangkin dalam merapatkan jurang ekonomi antara kaum dalam Malaysia.

Leave a Reply