Cart

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim bertukar dokumen bersama Ketua Komisioner Etapasbar, Yenda

RAUDHAH CITY – Pusat beli belah BMF pertama di Malaysia, Malakat Mall menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama strategik bersama syarikat Indonesia, PT Etapasbar Ecomm dan Himpunan Pedagang Pasar Baru Bandung bagi memasarkan produk dari republik itu ke negara ini.

MoU itu yang ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim dan Ketua Komisioner Etapasbar, Yenda diadakan di Kompleks Brainy Bunch di sini, semalam.

Menerusi kerjasama tersebut, Etapasbar yang berperanan memasarkan produk-produk di Pasar Baru Bandung secara dalam talian mahupun pembelian secara terus di kedai akan membawa produk popular dan bersesuaian untuk dipasarkan di Malakat Mall.

Barangan popular dI Pasar Baru Bandung selepas ini boleh didapati di Malakat Mall

Menurut Mohd. Fadzil, usaha tersebut yang digerakkan melalui inisiatif ASEAN Market Gateway bertujuan membawa keluar dan memasarkan produk hebat dari negara jiran itu ke negara ini khususnya di Malakat Mall.

“Dalam kempen BMF yang dicetuskan, memang banyak pihak mencadangkan supaya membantu industri umat Islam di negara lain. Jadi usaha ini dibuat melalui inisiatif ASEAN Market Gateway dan Duta Besar Indonesia.

“Menerusi kerjasama ini kita yakin dapat mengembalikan semula kuasa ekonomi ke dalam tangan umat Islam selaku kuasa majoriti,” katanya.

Malakat Mall

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, selepas ini akan diadakan lagi beberapa siri perbincangan sebelum ia dimuktamadkan.

Sementara itu, Yenda berkata, pihaknya berminat untuk bersama bekerjasama selepas melihat kedua-dua pihak mempunyai misi dan visi yang sama dalam menaikkan semula kuasa ekonomi umat Islam.

Katanya, seperti di negara ini, Indonesia juga mempunyai isu yang hampir sama apabila kuasa ekonomi dipegang oleh pihak luar, bukannya milik pribumi.

“Kita berharap ini merupakan langkah awal yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak termasuk kepada pengusaha dan usahawan di Indonesia untuk membina kekuatan sendiri.

“Tugas kita sekarang jangan hanya fikir tentang hasil kerana kalau tidak melangkah pasti tiada hasil yang diperoleh,” ujarnya. -MT

Leave a Reply