Cart

CYBERJAYA  – Berita baik buat orang Masjid Tanah. Mini Malakat Mall  dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada September ini. Ini adalah komitmen jelas setelah berita pembukaannya diuar-uarkan di portal MelayuBangkitNews pada Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, kerja-kerja ubah suai premis akan bermula pada April ini.

Katanya, ketika ini pihaknya masih menunggu surat tawaran rasmi daripada pemilik premis, Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Kerajaan negeri Melaka juga telah bersetuju dan memberi sokongan penuh kepada segala rancangan untuk membuka pasar raya berkonsepkan Islam di negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri menyokong penuh untuk mini Malakat Mall dibuka di Masjid Tanah. Surat tunjuk minat telah diserahkan dan sekarang kita tunggu keputusan dan surat rasmi Mara,” katanya.

Terdahulu, pada Khamis, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali Coach Fadzil telah menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Negeri Melaka, Ir. Ridhuan Affandi di pejabatnya.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Mohd. Fadzil berkata, Ridhuan telah menyatakan sokongan penuh untuk pihaknya mewujudkan mini Malakat Mall di Masjid Tanah.

Mohd Fadzli menjelaskan ada proses tertentu seperti kelulusan mesyuarat Lembaga Pengarah dahulu dan sebagainya.

Tambahnya, secara dasarnya pihaknya bersetuju untuk ambil alih bangunan berkenaan.

“Kita masih belum tandatangani surat tawaran rasmi lagi. Jika semua berjalan lancar, proses ubah suai premis akan dilakukan pada Jun dan akan dibuka pada September,” katanya.

Jelasnya, bangunan dua tingkat milik Mara yang akan dijadikan mini Malakat Mall itu berkeluasan 100,000 kaki persegi dan konsepnya sama dengan Malakat Mall di Cyberjaya.

“Barangan di mini Malakat Mall juga sama. Apa yang membezakannya ialah ia lebih kecil sedikit. Doakan segala urusan ini berjalan lancar,” katanya.

 

One Comment

Leave a Reply