Cart

RAUDHAH CITY – Harta dan wang ringgit yang dimiliki umat Islam tidak seharusnya menjadi ketaksuban seperti amalan golongan kapitalis sebaliknya dibelanjakan demi kepentingan ummah.

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, wang ringgit adalah amanah Allah yang perlu digunakan untuk membangun dan menyelesaikan permasalahan dalam ummah.

“Kita bukan mahu lihat harta dan wang ringgit berganda setiap hari seperti kapitalis tapi macam mana nak gunakan untuk manfaat seperti mana para sahabat Rasulullah menggunakan kekayaan mereka.

“Saya kalau ada RM1 bilion, saya fikir macam mana nak habiskan duit itu cepat-cepat sebab wang dan harta adalah amanah Allah. kita guna untuk ummah,” katanya pada Memorandum Persefahaman (MoU) Strategik Kumpulan Brainy Bunch dengan beberapa rakan kongsi perniagaan di sini semalam.

Bagaimanapun katanya, sebarang bentuk perbelanjaan atau pelaburan perlu diperhalusi dan dirancang dengan baik selain dinilai keperluannya.

“Bukan bagi saja-saja, tapi kita bagi dalam bentuk projek yang boleh membantu menyelesaikan masalah utama dalam masyarakat,” katanya.

Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Coach Fadzil berkata, kejayaan pembangunan ekonomi Islam perlu dilihat secara menyeluruh dan memerlukan penglibatan setiap anggota masyarakat.

Mengulas tohmahan nitizen yang mempertikaikan kemampuan beliau dalam pembangunan pelbagai projek perniagaan termasuk pembukaan Malakat Mall, beliau mahu masyarakat lebih faham prinsip perjuangan ekonomi yang cuba dilakukan.

Penubuhan Malakat Mall katanya, adalah salah satu platform untuk mewujudkan ekonomi Islam yang akan memberi manfaat kepada umat Islam khususnya melalui jalinan usaha sama.

“Ramai yang kata, Coach Fadzil ni semua benda dia nak buat, bagi la kat orang lain. Ni saya nak bagi kat orang lain la ni (melalui rakan kongsi),” katanya.

Justeru beliau mempelawa para usahawan untuk datang bertemu dengannya sekiranya mempunyai perniagaan yang berpotensi untuk dikembangkan.

“Tuan-puan yang tengok video saya, kalau ada bisnes, ada usaha, datanglah kat sini. Kita tengok apa yang kita boleh bantu. Di sini mungkin tempat untuk kita gandakan potensi kita,” katanya.

Dalam pada itu juga, Fadzil menyeru umat Islam di negara ini mendaftar diri sebagai ahli Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) yang merupakan antara koperasi utama terlibat dalam pelaburan Malakat Mall di Cyberjaya.

Katanya, umat Islam di negara ini perlu sama-sama menyahut seruan KoPPIM yang menyasarkan sejuta ahli pada tahun ini untuk sama-sama membangunkan eko sistem ekonomi Islam.

“Dengan hanya RM100 sebulan sahaja, kita boleh bina eko sistem ekonomi Islam. Dengan jumlah itu juga kita harap kita dapat bebaskan masyarakat kita daripada sistem riba, ambil alih semula hak kita dalam sektor runcit dan bina semula keseluruhan ekonomi.

“Orang kata ini mustahil tapi kita sudah kira. Kalau Brainy Bunch yang ada 8,000 pelajar dah boleh buat macam-macam bayangkan kalau semua umat Islam turut serta dalam gerakan ini,” katanya.

Leave a Reply