RAUDHAH CITY – Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KOPPIM) akan bekerjasama dengan syarikat pelancongan terkenal, Kembara Sufi Travel&Tours Sdn. Bhd. (Kembara Sufi) dalam menyediakan tawaran pakej pelancongan istimewa kepada ahli koperasi tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Operasi KOPPIM, Mohd. Fadzil Hashim, kerjasama itu sangat tepat kerana syarikat pelancongan milik bumiputera itu dilihat sangat berjaya menerusi industri pelancongan dalam dan luar negara.

“Kembara Sufi merupakan syarikat pelancongan terkenal dan tahun lepas sahaja keuntungan tahunan mereka mencecah RM50 juta.

Mohd. Fadzil Hashim (kanan) bersama Ketua Aktivisi PPIM, Datuk Nadzim Johan menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Kembara Sufi yang diwakili Pegarah Urusannya, Muhammad Al-Fadzil Hidzir (duduk kiri) dan Setiausaha KOPPIM, Mohd. Fazli Rahim (duduk kanan)

“Menerusi kerjasama strategik ini, semua ahli KOPPIM akan mendapat kadar tambang istimewa dan secara automatik mereka juga mendapat semua promosi milik kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena majlis Pra Pelancaran Malakat Mall di Raudhah City, Cyberjaya di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn. Bhd. (Raudhah City) menyaksikan majlis
menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Kembara Sufi yang diwakili sendiri oleh Pengarah Urusannya, Muhammad Al-Fadzil Hidzir dan KOPPIM yang diwakili Setiausahanya, Mohd. Fazli Rahim.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil berkata, usahasama itu juga dilihat sebagai usaha untuk mempercepatkan penambahan ahli KOPPIM di seluruh negara.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya menyasarkan untuk mendaftarkan sebanyak satu juta ahli dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, Muhammad Al-Fadzil berkata, kerjasama tersebut dapat memberikan peluang terbaik kepada pelanggannya untuk mendaftar sebagai ahli KOPPIM sekali gus mendapat pelbagai faedah dan dividen yang bakal disediakan.

“KOPPIM merupakan antara koperasi yang mempunyai matlamat jelas dan menjadi tempat untuk mengumpul orang bumiputera untuk berniaga dan mengumpul idea dalam usaha memberikan kebaikan kepada umat Islam terutamanya orang Melayu.

Pengarah Urusan Kembara Sufi, Muhammad Al-Fadzil Hidzir (kiri) bertukar dokumen dengan Setiausaha KOPPIM, Mohd. Fazli Rahim (dua dari kanan).

“Dan kita di sini pun nampak peluang untuk tetamu di Kembara Sufi yang mana sekarang kita ada kira-kira 100,000 pengikut untuk bersama-sama KOPPIM,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut, katanya, selain menawarkan harga istimewa kepada ahli KOPPIM pihaknya juga akan menyokong usaha koperasi tersebut dengan memperuntukkan satu jumlah untuk bersama-sama berkongsi keuntungan.-MT

admin

Author admin

More posts by admin

Leave a Reply