Cart

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau lebih dikenali sebagai Tokki berkata, perkembangan politik dan ekonomi khususnya dalam media sosial memperlihatkan betapa umat Islam di Malaysia dihina pada tahap yang sangat luar biasa.

Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim (tiga dari kanan) bersama Nadzim Johan (dua dari kanan) dan barisan penceramah pada program Munajat Perdana di Malakat Mall, malam tadi.

“Bayangkan sehingga ada pelajar yang masih di sekolah rendah bercakap mempersendakan Agong dan mahu membunuh orang Islam.

“Ini adalah contoh yang mana kebencian dan penghinaan terhadap orang Islam semakin melampau.

“Mungkin disebabkan penghinaan luar biasa ini juga telah membawa sedikit kesedaran kepada kita membantu dan menyokong usaha yang tidak pernah terlihat sebelum ini (Malakat Mall)” katanya.

Tokki berkata demikian dalam ucapan program Munajat Perdana Kebangkitan Ekonomi Islam sempena pra pelancaran Malakat Mall yang dihadiri kira-kira 2,000 pelajar tahfiz di sini semalam.

Program itu turut menghimpunkan tokoh dan pemikir agama; pemimpin pertubuhan bukan kerajaan; golongan peniaga dan orang ramai.

Menurut Tokki, sudah tiba masanya umat Islam khususnya di rantau Nusantara memperkukuhkan kedudukan ekonomi yang selama ini dikuasai bangsa asing.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah kesungguhan, kesatuan dan pengorbanan. Lupakan agenda politik masing-masing dan bersatu kita dalam ekonomi.

“Kita kena lihat kekuatan Islam dahulu yang mampu mengalahkan jumlah tentera lawan jauh lebih besar jumlahnya,” katanya.

Bahkan katanya, tanggungjawab mempertahankan hak dan maruah merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam yang sekiranya tidak dilaksanakan boleh menyebabkan seseorang itu terlepas ganjaran syurga.

“Umat Islam tidak boleh menjadi lemah dan miskin. Bukan sahaja ‘orang luar’ tapi kita lihat sendiri bagaimana saudara dan ahli keluarga menolak kita bila kita tiada apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu Tokki berkata, kewujudan Malakat Mall yang akan dibuka pada Mac ini wajar dijadikan contoh pusat perniagaan Islam kepada seluruh dunia.

“Saya harap Malakat Mall akan dijadikan destinasi lawatan pemimpin dunia, pelajar dan pelancong yang datang ke negara ini.

“Bukan sahaja Malakat Mall tapi di sini juga kita ada Raudhah City sebagai contoh bandar Islam moden yang boleh menjadi inspirasi untuk Islam terus maju dan berkembang,” katanya.

Leave a Reply