Cart

RAUDHAH CITY – Pernah dengar Kopi Cap Dua Daun!, jenama itu bunyinya mungkin tidak popular berbanding kopi lain di pasaran namun, bila rasa keenakan dan keharumannya pasti akan ‘melekat’.

Untuk yang belum tahu, Kopi Cap Dua Daun yang dikilangkan di Kampung Durian Burung di Serdang Kulim, Kedah sejak 1970 dan sebenarnya begitu popular di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang selain daerah utara Perak.

Pengurus Operasi Zon Tengah & Selatan Kopi Cap Dua Daun, Anwar Ridhawi Abdul Rahim berkata, produk berkenaan diperbuat daripada bijian kopi asli yang akan memberikan citarasa kopi sebenar.

Beliau berkata, kopi itu merupakan minuman segera dari kopi campuran asli berkualiti tinggi dan paling penting ia merupakan produk keluaran usahawan Islam sejak turun temurun.

“Kopi ini diusahakan oleh Kilang Kopi Mohamed Chin & Anak-Anak Sdn. Bhd., dan telah dipasarkan secara meluas di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang selain utara Perak. Di kawasan lain juga ada namun, tidak banyak serta secara berperingkat.

“Sekarang kami memperluaskan pemasaran ke kawasan tengah dan selatan selain melalui dalam talian. Terbaharu kita akan pasarkan produk ini di Raudhah Grocer di Malakat Mall yang akan dibuka Mac ini,” katanya.

Menurut Anwar Ridhawi, kopi berkenaan terdapat dalam bungkusan dua dalam satu berbentuk sachet, serbuk halus dan kasar dalam paket 800 gram, 360 gram, 180 gram dan 90 gram.

“Kandungan produk kami terdiri daripada biji kopi berkualiti tinggi, gula, minyak sayuran dan garam. Rasailah sendiri kopi yang benar-benar harum dan sedap ini, harganya juga amat berpatutan,” katanya.

Sementara itu katanya, permintaan produk kopi tersebut ketika ini amat memberangsangkan dengan pengeluaran lebih 10,000 kotak sebulan dan akan bertambah dengan adanya kempen Beli Produk Muslim Dahulu (BMF).

“Alhamdulillah, sejak kempen BMF digerakkan permintaan produk ini begitu meningkat dan kami menggunakan peluang untuk meluaskan pasaran agar penggemar kopi dapat merasai keenakannya.

“Untuk mereka yang berdekatan ingin merasai keenakan dan keharuman Kopi Cap Dua Daun boleh berkunjung ke Malakat Mall dan selain kopi ini, pelbagai lagi produk usahawan Islam dipasarkan di sini,” katanya.

Untuk tempahan dan sebarang pertanyaan mengenai Kopi Cap Dua Daun boleh menghubungi Pengurusan Pemasaran Kilang Kopi Mohamed Chin & Anak-Anak Sdn. Bhd., Rosliza Desa di talian 017-6880907.

Leave a Reply