Cart

RAUDHAH CITY – Lebih 200 usahawan Muslim dari seluruh negara hadir dalam Mesyuarat Himpunan Pemilik Kedai Muslim, Pelabur Baharu dan Pemilik Kedai Muslim siri kedua di Brainy Bunch di sini hari ini.

Selain bertujuan membantu usahawan Muslim untuk mengetengahkan produk milik masing-masing, program yang berlangsung kira-kira dua jam itu turut membuka peluang kepada mereka untuk membawa masuk produk ke Malakat Mall menerusi pasar raya Raudhah Grocer.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, beliau berasa sangat teruja dengan kehadiran ramai usahawan dalam program kali ini yang bukan sahaja hadir dari negeri lain malah mempunyai produk sendiri.

“Yang hadir program hari ini ada datang dari Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan tempat-tempat lain, mereka yang datang juga ada antaranya mempunyai produk, jenama dan kilang sendiri.

“Untuk hari ini, selain memberi penerangan mengenai usaha yang sedang kita lakukan sekarang, ada juga yang datang untuk mendengar sendiri mengenai agenda Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM),” katanya kepada Malakat Tribune.

Yang hadir sama, Ketua Prasarana Kempen BMF Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Noor Izzat Johari.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk menambah bilangan pasar raya Raudhah Grocer di seluruh negara bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk usahawan BMF.

“Kita memang dapat banyak permintaan untuk membuka Raudhah Grocer di Pahang, Terengganu dan lain-lain tempat yang tiada Malakat Mall atau bangunan-bangunan besar.

“Selain itu, sasaran kita juga untuk menukarkan kedai runcit sedia ada untuk menjadi Raudhah Grocer.

“Apa yang kita cuba lakukan sekarang ialah untuk satukan kekuatan kita dari segi jenama kepada satu jenama sahaja tanpa memerlukan kos yang tinggi dan sekali gus dapat menurunkan kos pemasaran dan memaksimumkan keuntungan kita,” ujarnya.

Leave a Reply