Cart

KUALA LUMPUR- Pusat Beli Belah Malakat Mall bakal menjalin kerjasama strategik dengan sebuah stesen radio milik Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak lama lagi.

Berita baik ini dicapai selepas Kumpulan Pengurusan Malakat Mall mengadakan lawatan di Wisma Bernama melihat bahagian-bahagian dan fasiliti yang terdapat dalam agensi berita nasional berkenaan.

Ketua Pengarah Urusan yang juga Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, hasil lawatan itu, pihaknya melihat banyak peluang dan kerjasama yang boleh dijalinkan antara kedua-dua pihak.

“Paling menarik penjenamaan Bernama Radio sebagai radio yang memberi fokus kepada berita-berita usahawan,”katanya.

Menurut Mohd Fadzil, penjenamaan semula Bernama Radio sebagai radio untuk mempromosikan peniaga dan usahawan SME adalah sesuatu yang sangat baik dalam membantu usahawan.

“Penjenamaan semua Bernama Radio adalah sangat baik, maka insyaAllah kita akan adakan kolaborasi dengan Bernama Radio ,”katanya.

Mohd Fadzil berkata, kerjasama yang bakal dijalinkan adalah sepertimana kerjasama yang telah dimeterai bersama TV Al Hijrah sebelum ini.

“Sepertimana kolaborasi dengan TV Al-Hijrah, kita akan jadi anchor usahawan untuk tawarkan pakej promosi yang lebih besar tetapi mampu dimiliki dan bakal memberi impak lebih banyak kepada usahawan kita,”katanya selepas selesai lawatan di Wisma Bernama hari ini.

Selain itu, Mohd Fadzil berkata, pihaknya juga telah mengemukakan cadangan supaya Bernama Radio ditempatkan dalam platform aplikasi online Aflix milik kumpulan itu.

“Di Malakat Mall pula kita akan jadikan Bernama Radio sebagai radio utama yang akan dimainkan dalam pusat beli belah untuk war-warkan berita-berita usahawan,”katanya.

Bermula 1 Oktober 2019, Bernama Radio mula dikenali sebagai Stesen Berita Bisnes Anda yang memberi fokus kepada dunia perniagaan.

Stesen berkenaan menyiarkan berita perniagaan terkini serta temuramah dan perbincangan yang memfokuskan kepada ciri-ciri keusahawanan dan pembangunan perniagaan dimana usahawan-usahawan yang berjaya akan berkongsi pengalaman mereka dalam mengatasi cabaran yang dihadapi dan meningkat perniagaan mereka.

Siaran-siaran berkenaan ditujukan kepada para-peniaga, dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) selain menjadi platform untuk usahawan-usahawan berkongsi pengalaman mereka.

Sementara itu, pusat beli belah yang diwujudkan untuk merancakkan lagi sektor peruncitan usahawan bumiputera itu bakal di buka pada 13 Mac ini.

Leave a Reply