Cart

RAUDHAH CITY – Pusat beli belah, Malakat Mall Cyberjaya di sini akan menjadi contoh untuk mencapai misi membuka 100 pusat beli belah seumpama itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Istighfar Hamidon berkata, pihaknya ketika ini sedang merangka strategi terbaik untuk memastikan pusat beli belah yang pertama itu berjaya.

Oleh sebab itu katanya, segala kriteria pemilihan kedai dan produk diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan standard dan syarat-syarat yang diinginkan dapat ditepati.

“Untuk di Malakat Mall di sini, ruangan bawah sudah pun penuh dan aras satu hampir penuh. Untuk tingkat dua masih ada kekosongan dan kita sedang rancang untuk buat karnival di situ.

“Sekarang, walaupun Malakat Mall pertama belum lagi dibuka namun sudah ada tawaran untuk pasar raya ini dikembangkan lagi iaitu di Melaka. Jadi yang pertama ini akan menjadi contoh,” katanya kepada Malakat Tribune di sini.

Mengulas mengenai keperluan di Malakat Mall ketika ini, Istighfar berkata, pihaknya sedang mencari usahawan bumiputera yang ingin membuka kedai emas, kedai jam dan cermin mata.

“Di sini kita amalkan konsep berbeza, kita tidak perlukan kedai yang menjual produk sama. Satu sahaja sudah cukup namun, kita pastikan semua ada di kedai itu dan berkualiti,” katanya.

Sementara itu katanya, Malakat Mall bakal menjadi revolusi perniagaan untuk bumiputera yang bakal menguasai kira-kira 60 peratus daripada pasaran runcit di negara ini.

“Kajian menunjukkan sektor peruncitan bumiputera masih kurang berkembang kerana tidak dapat menyertai pasaran, ia berlaku kerana tiada akses kepada pasaran.

“Satu fakta yang jelas industri runcit di Malaysia kini bernilai RM110 bilion. Walau bagaimanapun, syarikat asing yang menerima manfaat ekonomi langsung di sektor runcit terbesar.

“Mereka mendapat lebih 60 peratus daripada saiz pasaran. 32 peratus selebihnya dikuasai oleh bukan bumiputera. Hanya peratus yang amat sedikit iaitu lapan peratus dimiliki oleh bumiputera”, katanya.

Selain itu katanya, senario ini berlaku kerana sewa sangat tinggi di pusat beli belah dan ada juga yang mampu tetapi tidak diberikan tempat yang strategik di pusat beli belah.

Tambah Istighfar, objektif utama Malakat Mall bukanlah hanya untuk mewujudkan pusat beli belah barangan bumiputera tetapi mahu membina ekosistem ekonomi yang membolehkan komuniti berbelanja mendapat manfaat langsung.

Menurutnya, ini semua mampu diselesaikan dengan hanya menyatukan kuasa pembelian kita kerana Malakat Mall mempunyai model perniagaan yang unik.

“Kami tidak mengenakan sewa kepada penyewa. Semua usahawan ialah rakan kongsi melalui perkongsian ‘revenue’ sebanyak 20 peratus sahaja.

“Berbeza dengan amalan biasa di pusat beli belah sedia ada, mereka harus membayar sewa dan ‘revenue sharing’. Selain itu, semua usahawan akan dipimpin hingga berjaya. Ini adalah melalui bimbingan, latihan dan dibantu sebagai rakan usahasama,” jelasnya.

Justeru itu katanya, setiap usahawan haruslah memiliki produk yang sesuai dan unik serta imej haruslah setanding dengan jenama luar negara selain bimbingan akan diberikan kepada mereka agar mencapai penanda aras ini.

Leave a Reply