Cart

Pengarah Pembangunan Perniagaan Brainy Bunch, Mohd. Fazli Rahim (dua dari kanan) memberi penerangan kepada kunjungan Suruhanjaya Koperasi Malaysia diketuai Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan SKM, Jamaliah Ismail di Malakat Mall, semalam.

CYBERJAYA – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan turut serta dalam perjuangan memartabatkan ekonomi usahawan Islam yang diterajui Malakat Mall melalui pemasaran produk-produk milik koperasi di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan SKM, Jamaliah Ismail berkata, selepas melihat persediaan pembukaan Malakat Mall, pihaknya melihat banyak potensi perniagaan yang boleh diterokai melalui jalinan kerjasama.

Menurut beliau, salah satu daripada usaha peringkat awal adalah dengan mengenal pasti produk-produk milik koperasi yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Di yayasan kami mempunyai banyak produk-produk di bawah koperasi yang boleh diletakkan di sini (Malakat Mall) untuk dijual kepada pengguna.

“Kami harap kerjasama ini dapat direalisasikan. Untuk permulaan ia mungkin melibatkan 50 hingga 100 produk usahawan koperasi yang sedia ada,” katanya.

Jamaliah ditemui dalam lawatan SKM ke Ibu pejabat Brainy Bunch Sdn. Bhd. dan Malakat Mall diiringi oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan Brainy Bunch, Mohd. Fazli Rahim.

Turut hadir Ketua Penolong Bahagian Pembangunan Perniagaan SKM, Zainudin Sulaiman dan Mohd. Firdaus Hussain.

Jamaliah Ismail

Jamaliah memberitahu, hasil pertemuan dengan pihak pengurusan, pihaknya merancang untuk mengadakan lawatan ke Malakat Mall bersama ahli-ahli koperasi pada 11 Mac ini.

“Ahli koperasi boleh melihat sendiri potensi dan peluang perniagaan yang ditawarkan di Malakat Mall ini.

“SKM berharap usaha ini akan mendapat sokongan lebih banyak agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, usahawan dan orang ramai,” katanya. -MT

Leave a Reply