Cart

CYBERJAYA – Malakat Mall hari ini menyaksikan tiga lagi perjanjian kerjasama strategik antara lima syarikat bumiputera yang bakal beroperasi di Malakat Mall, Cyberjaya awal Mac ini.

Syarikat yang terlibat ialah gedung pakaian dan peralatan sukan Tahan Sports, jenama sukan milik bekas kapten pasukan bola sepak Harimau Malaya Safiq Rahim; Sportsrevo, pengeluar produk penyokong sukan bola sepak Capo Apparel, Salun dan Pusat Kecantikan Wanita Tun Teja dan pengeluar produk kecantikan tradisional Safah Herbs.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata. perjuangan Malakat Mall ialah perjuangan untuk menyediakan ruang untuk usahawan muslim membina perniagaan di pusat beli-belah.

Menurutnya, semua usahawan yang membawa jenama masing-masing di dalam Malakat Mall akan dibimbing secara tersusun dan sistematik untuk menjadi jenama yang menajdi pilihan utama masyarakat Malaysia umumnya.

“Hari ini Malakat Mall memperkenalkan lima usahawan yang akan dipupuk dan dibimbing. Meraka ialah Farah Abd Latif dari Tun Teja Mom and Kids Spa Saloon, Mohd Fuad Rahim mewaikili Tahan Sports, bekas kapten pasukan Harimau Malaya Safiq Rahim yang membawa jenama Sportsrevo, Mohd Ridzuan Hj Ahmad pengasas jenama Capo Apparels dan Foziah Mohd Foad yang memperkenalkan produk tradisional Safah Herbs.

“Tujuan utama Malakat Mall adalah untuk menjadi sebuah landasan mengubah ekosistem ekonomi sedia ada kepada Ekosistem Ekonomi Islam, ” katanya.

Fadzil berkata, beliau yakin untuk berjaya mewujudkan komponen pasaran dalam ekosistem ekonomi Islam baharu melalui promosi perniagaan milik Muslim yang berkualiti tinggi.

Jelasnya, sebagai satu daripada sembilan langkah yang diambil untuk perubahan ekosistem ekonomi Islam, Malakat Mall juga dilihat sebagai pusat transformasi perniagaan di mana ia akan menyediakan perkhidmatan jualan pukal dan berpusat untuk jenama usahawan tempatan seterusnya mengurangkan kos operasi mereka.

“Pusat membeli belah itu juga merupakan pusat latihan untuk ejen, stokis, pelajar, dropships, dan pemilik perniagaan.

“Malakat Mall bukan pusat beli-belah seperti mana yang lain, tetapi ia merupakan pusat komuniti bandar berfungsi sebagai hub untuk mengubah kualiti hidup masyarakat dan sosial serta bertindak pusat komuniti masyarakat,” katanya.

“Daripada perbelanjaan runcit RM100 bilion negara, hanya 8 peratus kepada orang Islam manakala 60 peratus ke entiti asing,” katanya.

Mengulas mengenai matlamat Malakat Mall beliau berkata ia antara usaha merebut sekurang-kurangnya 30 peratus perbelanjaan runcit negara dan menyalurkannya kepada perniagaan serta pengguna tempatan dan Islam.

Tambah Mohd Fadzil, antara kelebihan Malakat Mall ialah pengusaha akan mendapat pelatih percuma dari Brainy Bunch International School pada hujung minggu.

“Kami juga merancang untuk beroperasi 24 jam seperti Mustafa Centre di Singapura dalam masa terdekat,” katanya sambil menambah bahawa Malakat Mall akan menjadi pusat mesra solat, di mana setiap waktu solat, akan ada rehat tujuh minit iaitu pengunjung boleh solat bersama-sama di mana sahaja.

Sementara itu, pengguna yang berbelanja RM20,000 setahun layak menerima rawatan perubatan secara percuma untuk setahun. Pengguna berdaftar juga layak menerima agihan dividen oleh Malakat Mall.

” Kami menyasarkan 15,000 keluarga untuk berbelanja sekurang-kurangnya RM20,000 setahun atau RM1,667 sebulan yang bakal membawa pendapatan RM300juta untuk Malakat Mall.

“ Sebahagian daripada pendapatan Malakat Mall akan disalurkan ke tabung Selamatkan Ummah yang akan membiayai pembinaan rumah transit untuk asnaf sebagai sebahagian daripada program sedekah kami,”

Terdapat beberapa fasa dalam proses perubahan ekosistem ekonomi dan ia telah dimulakan dengan sistem pendidikan melalui tadika dan Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch.

Seterusnya, mewujudkan sebuah komuniti dan pusat ekonomi serta mewujudkan gerbang pembayaran atau ‘payment gateway’ yang berlandaskan syariah.

Kerjasama yang dimerterai hari ini diharap dapat mengukuhkan lagi usaha Malakat Mall dalam usaha meningkatkan martabat usahawan Muslim dan tempatan khususnya.

Mohd Fadzil berkata pihaknya berharap kesemua perniagaan yang memeterai perjanjian hari ini dapat meningkat ekonomi umat Islam dan membantu mengubah ekosistem ekonomi Islam di negara ini khususnya.

Dalam pada itu, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) ditubuhkan bertujuan untuk menjadi sumber dana kepada pelaburan strategik untuk membangunkan ekosistem ekonomi Islam. Dengan motto “Pengguna Pemilik Ekonomi”, dan KoPPIM kini dalam misi membina 1 juta keahlian koperasi.

Tiga teras strategi KoPPIM termasuk Pembangunan Ahli Koperasi Pengguna Islam, Pembangunan Syarikat Pembayar Zakat dan Pembangunan Eko-sistem Ekonomi Beretika.

KoPPIM sedang membina ‘Ekosistem Baharu Ekonomi Islam’ melalui pergerakan secara besar-besaran dan dana KoPPIM ketika ini dilaburkan ke beberapa Projek Berimpak Tinggi terpilih, demi membawa manfaat besar buat ahli KoPPIM secara khusus & komuniti Muslim secara umum.

Dengan yuran keahlian serendah RM30 dan 1 unit syer berharga RM500, KoPPIM menyasarkan pulangan dividen setinggi lapan hingga 15 peratus setahun setanding Koperasi Permodalan Felda yang telah lama bertapak. 

Leave a Reply