Cart

CYBERJAYA – Impian Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) mencapai sejuta ahli mampu direalisasikan melalui kejayaan Malakat Mall sebagai pencetus kesedaran ekonomi Islam.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, kejayaan Malakat Mall ini memerlukan sokongan semua umat Islam baik dari individu mahupun pertubuhan.

Katanya, antara pertubuhan terbesar yang dilihat berupaya menyumbang kepada usaha itu adalah KoPPIM.

“Kita akan kempen supaya keahlian KoPPIM cecah sejuta orang. Sasarannya adalah untuk menjana dana sehingga RM1.2 bilion supaya usaha memperkasakan ekonomi Islam khususnya melalui kempen Buy Muslim First (BMF) berjaya.

“Saya percaya KoPPIM akan memainkan peranan dan mengambil bahagian dalam industri ini (ekonomi Islam) dan sasaran sejuta ahli tidak mustahil.

“Saya juga harap pelajar-pelajar tahfiz dan pondok yang hadir pada malam ini apabila mereka balik ke pondok, balik kampung atau pergi ke surau dan masjid mereka dtoko ‘kempen’ supaya KoPPIM menjadi koperasi terbesar di dunia,” katanya.

Aminuddin berkata demikian dalam ucapan program Munajat Perdana Kebangkitan Ekonomi Islam sempena pra pelancaran Malakat Mall di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch Mohd. Fadzil Hashim di atas kejayaan majlis yang dihadiri para ulama, tokoh NGO, ahli perniagaan dan lebih 1,300 pelajar tahfiz.

“Malakat Mall catat sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan ribuan jemaah dalam sebuah pasar raya yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Bayangkan kalau hari ini ribuan yang datang ini berdoa dan berzikir untuk kejayaan ini, ia akan mendapat pertolongan Allah.

“Tidak salah untuk mengimpikan sesuatu yang hebat bahkan Rasulullah sendiri pernah berkongsi ‘dream’ yang mana suatu hari umat Islam akan kuasai Rom dan Parsi,” ujarnya. -MT

Leave a Reply