Cart

RAUDHAH CITY – Tinggal kurang sebulan lagi sebelum memulakan operasi, pusat beli belah Malakat Mall mendapat suntikan tambahan apabila jenama sukan milik bekas kapten skuad kebangsaan Harimau Malaya, Safiq Rahim bakal memasarkan produk miliknya menerusi jenama Sportsrevo di dalam pusat beli belah BMF itu.

Lebih menarik, pengeluar produk penyokong sukan bola sepak yang terkenal dengan jolokan Ultras Malaya, Capo Apparel akan turut sama memeriahkan jualan produk sukan di Malakat Mall khusus untuk penyokong bola sepak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, menerusi kerjasama itu kedua-dua jenama sukan berkenaan akan diletakkan di dalam kedai sukan, Tahan Sports di Malakat Mall.

Safiq Rahim (tiga dari kanan) bertukar dokumen bersama Pengurus Tahan Sports, Mohd. Fuad Rahim. Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim (dua dari kanan)

“Kita akan sediakan satu ruang untuk barangan Sportsrevo dan Capo Apparel di dalam Tahan Sports, sekarang kita dalam proses akhir menentukan susunan barangan dalam kedai tersebut.

“Sasaran kita ialah untuk Tahan Sports beroperasi pada 1 Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn. Bhd., menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara lima syarikat yang bakal beroperasi di Malakat Mall di Cyberjaya di sini.

Syarikat yang terlibat ialah barangan peralatan sukan, Tahan Sports; Sportsrevo; Capo Apparel; salun dan pusat kecantikan wanita, Tun Teja dan pengeluar produk kecantikan tradisional, Safah Herbs.

Produk Capo Apparel khusus untuk penyokong Ultras Malaya juga boleh didapati di Malakat Mall bermula pada 1 Mac ini

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, sebagai usaha untuk memperkenalkan lagi jenama Sportsrevo secara lebih luas, pihaknya menerusi pusat pendidikan tadika dan Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch akan menggunakan pakaian sukan jenama tersebut ketika sambutan Hari Sukan Brainy Bunch di seluruh negara.

“Selepas ini, saya akan meminta Capo Apparel milik Mohd. Ridzuan Ahmad atau Lekir untuk menghantar kertas kerja supaya satu program sistematik dapat dibuat bagi melahirkan lebih ramai ‘penghasut-penghasut’ penyokong sukan,” katanya.-MT

Produk khusus untuk wanita, Tun Teja dan Safah Herbs juga antara jenama milik usahawan bumiputera yang bakal beroperasi di Malakat Mall

Leave a Reply