Cart

RAUDHAH CITY – Program Munajat Perdana Malakat Mall yang akan berlangsung di sini malam ini bakal membuka era baharu sebagai sebuah pusat beli-belah pertama menghimpun dan menjual produk Muslim di negara ini.

Naib Pengerusi Persatuan Pembela-pembela Islam (Pembela), Masridzi Sat berkata, program itu akan menghimpunkan ulama-ulama terkenal bagi mendoakan supaya Malakat Mall mencapai kejayaan apabila dibuka 1 Mac nanti.

Tambah beliau, gelombang kempen Buy Muslim First (BMF) yang dilancarkan tahun lalu semakin meningkat malah penyokong-penyokong kempen itu tidak sabar untuk mengunjungi Malakat Mall.

“Walaupun publisiti Malakat Mall sudah berlangsung beberapa bulan lalu, sambutan daripada penyokong BMF terutama orang Muslim begitu hebat.

“Belum buka lagi mereka sudah sedia untuk menyokong pasar raya ini. Ini sesuatu yang luar biasa dan seingat saya belum pernah berlaku sebuah pusat beli belah dinantikan oleh pengunjung,” katanya selepas mesyuarat akhir Majlis Munajat Perdana Malakat Mall di Ibu pejabat Kumpulan Brainy Bunch di sini.

Program itu dijangka dihadiri lebih 1,000 pelajar tahfiz dan dihadiri tokoh serta ulama terkenal tempatan dan Indonesia.

Bertemakan ‘Doa Senjata Orang Mukmin’, ia merupakan antara sebahagian aktiviti dalam memastikan pasar raya itu dikenali kepada orang ramai. – MT

Leave a Reply