Cart

RAUDHAH CITY – Penularan wabak COVID-19 ketika ini tidak menjejaskan pembukaan Pusat Beli-Belah Malakat Mall yang tetap dibuka 1 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim berkata, penularan wabak itu sedikit menjejaskan operasi Malakat Mall kerana terdapat beberapa produk dari Yiwu, China tidak dapat dihantar ke sini.

Namun jelas beliau, pihaknya telah mengaktifkan pelan kecemasan supaya pembukaan Malakat Mall tidak tergendala.

“Kesan daripada wabak itu menyebabkan operasi di Yiwu terpaksa ditutup sementara. Tetapi saya mendapat maklumat daripada rakan di sana operasi kembali berjalan Isnin depan.

“Doakan supaya Malakat Mall dibuka 1 Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara Malakat Mall dan Kumpulan Brainy Bunch bersama enam entiti perniagaan termasuk Alhijrah Media Corporation di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fadzil, kerja-kerja menyiapkan beberapa outlet giat dijalankan dan kemungkinan tidak semua jenis perniagaan beroperasi di pusat beli-belah itu.

“Ia bukan pelancaran tetapi pembukaan 1 Mac ini. Mana-mana pusat beli-belah tidak akan beroperasi secara 100 peratus.

“Semua outlet dibuka secara berkala dan peluang masih berada bagi usahawan untuk membuka perniagaan di Malakat Mall,” katanya.

Menurut Mohd. Fadzil, bagi merancakkan operasi pusat beli-belah itu pihaknya membuka ruang di tingkat dua untuk Bazar Ramadan yang menempatkan lebih 100 usahawan kecil menjual pelbagai jenis barangan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Jelas beliau, pembukaan awal Bazar Ramadan itu selama tiga bulan
bagi memberi peluang kepada umat Islam membuat persiapan awal sebelum, semasa dan menjelang perayaan itu nanti.

“Tawaran yang dikenakan kepada usahawan kecil ini rendah iaitu perlu membayar RM1,000 caj utiliti dan 10 peratus perkongsian pendapatan.

“Jumlah ini berbeza dengan tawaran pusat beli-belah lain yang mengenakan caj RM10,000 sebulan bagi ruang niaga berkeluasan lebar dan panjang tiga meter,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohd. Fadzil memberitahu, pihaknya bakal menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi penduduk di Putra Perdana berjumlah 70,000 orang yang ingin mengunjungi Malakat Mall apabila dibuka nanti.

“Perkhidmatan itu beroperasi pada Sabtu dan Ahad bagi penduduk di Putra Perdana yang ingin ke Malakat Mall.

“Kita juga bercadang memperluaskan perkhidmatan itu di kawasan lain seperti Dengkil dan Sepang jika terdapat permintaan,” jelas beliau. -MT

Leave a Reply