Cart

RAUDHAH CITY – Masyarakat Masjid Tanah, Melaka teruja dan gembira dengan perancangan penubuhan mini Malakat Mall di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, masyarakat kawasannya sejak dahulu lagi mempunyai permintaan untuk kemudahan itu.

“Orang Masjid Tanah sejak dahulu lagi ada permintaan mahu masukkan Mydin dan sebagainya tetapi, masih belum dapat direalisasikan lagi.

“Bila ada cakap-cakap bahawa mini Malakat Mall akan dibuka di Masjid Tanah, mereka teruja dan gembira untuk tunggu kemunculan pusat beli belah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, beliau berharap hasrat pembukaan mini Malakat Mall itu menjadi kenyataan bagi menyaksikan kemakmuran bersama.

“Dalam masa sama, kita dapat lihat potensi Masjid Tanah. Melalui inisiatif ini juga, kita dapat kongsikan segala peluang perniagaan dan tingkatkan pendapatan,” katanya.

Selain itu katanya, beliau akan cuba membantu pihak pengurusan Malakat Mall dalam urusan melibatkan bangunan milik Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Saya akan bertemu (Mara) dan melihat apa statusnya sekarang, saya akan bantu sedaya upaya agar hasrat pembukaan mini Malakat Mall dapat direalisasikan.

“Difahamkan, bangunan ini dahulu tidak beroperasi. Ia disewa oleh syarikat luar negara, tetapi sewa kosong. Sebab itu bila ada usahawan mahu sewa pun tidak dapat,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Fadzil memaklumkan, mini Malakat Mall itu dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada September ini dengan kerja-kerja ubah suai premis akan bermula pada April ini.

Sehingga kini katanya, Mohd. Fadzil menyatakan pihaknya masih menunggu surat tawaran rasmi daripada Mara selaku pemilik premis sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Katanya, Kerajaan Negeri Melaka juga telah bersetuju dan memberi sokongan penuh segala rancangan untuk membuka pasar raya berkonsepkan Islam di negeri berkenaan.

Leave a Reply