Cart

RAUDHAH CITY – Mini Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada September ini dengan kerja-kerja ubah suai premis akan bermula pada April.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya ketika ini masih menunggu surat tawaran rasmi daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) selaku pemilik premis.

Beliau berkata, kerajaan negeri Melaka juga telah bersetuju dan memberi sokongan penuh kepada segala rancangan untuk membuka pasar raya berkonsepkan Islam di negeri berkenaan.

“Kerajaan negeri menyokong penuh untuk mini Malakat Mall di dibuka di Masjid Tanah. Surat tunjuk minat telah diserahkan dan sekarang kita tunggu keputusan dan surat rasmi Mara.

“Mereka (Mara) mungkin ada proses tertentu mungkin kena pergi ke Lembaga Pengarah dahulu dan sebagainya. Secara dasarnya kita bersetuju untuk ambil alih bangunan berkenaan.

“Kita masih belum tandatangani surat tawaran rasmi lagi. Jika semua berjalan lancar, proses ubah suai premis akan dijalankan pada Jun dan akan dibuka pada September,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel jemputan dalam seminar anjuran ESQ yang diadakan di Great Hall, Aras 5 Kompleks Brainy Bunch di sini pada Sabtu lalu.

Terdahulu, pada Khamis, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali Coach Fadzil telah menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Negeri Melaka, Ir. Ridhuan Affandi di pejabatnya.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Mohd. Fadzil berkata, Ridhuan telah menyatakan sokongan penuh untuk pihaknya mewujudkan mini Malakat Mall di Masjid Tanah.

Dalam pada itu katanya, bangunan dua tingkat milik Mara yang akan dijadikan mini Malakat Mall itu berkeluasan 100,000 kaki persegi dan konsepnya sama dengan Malakat Mall di Cyberjaya.

“Barangan di mini Malakat Mall juga sama. Apa yang membezakannya ialah ia lebih kecil sedikit. Doakan segala urusan ini berjalan lancar, ayuh bangkit bersama,” katanya.-MT

Leave a Reply