Cart

CYBERJAYA – Pusat beli belah Islam Malakat Mall, hari ini memeterai satu perjanjian persefahaman bersama sebuah syarikat pengeluar pakaian sukan muslimah dari Indonesia, Noore Sports Hijab.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim dan Pengasas Noore Sports Hijab, Adidharma Suddradjat di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Mohd Fadzil berkata, jenama tersebut akan membuka butiknya sendiri di Malakat Mall yang akan mula beroperasi pada Mac tahun ini.

“Jenama Noore merupakan satu-satunya jenama pakaian sukan khusus untuk Muslimah dan yang mana saya mula mengenali jenama itu ketika berkunjung ke sebuah pasar raya di Surabaya tiga tahun lalu.

“Butik Noore yang menawarkan kelengkapan pakaian sukan untuk semua jenis sukan akan diletakkan bersebelahan Tahan Sport,”katanya.

Menurut Mohd Fadzil, kehadiran jenama Noore di Malakat Mall amat significan bagi memudahkan atlet atau kaum wanita memakai pakaian yang mematuhi syarak meskipun bergiat aktif dalam sukan.

“Noore menawarkan kelengkapan sukan Muslimah. Kini kaum wanita masih boleh bergiat aktif dalam semua jenis sukan dan masih menggunakan pakaian yang selesa dan mematuhi syarak,”katanya.

Sementara itu menurut Adidharma, jenama sukan itu mula memasuki pasaran di Indonesia pada tahun 2016 selepas beliau mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi atlet wanita berhijab untuk aktif bersukan.

Terdapat banyak isu termasuk ada atlet mengalami kecederaan apabila mengenakan hijab biasa sewaktu bersukan maka dari situlah muncul Noore, “katanya.

Tambah beliau jenama pakaian sukan itu terkenal dengan konsep 4K iaitu Kesopanan, Keindahan, Kenyamanan dan Kesihatan.

“Setiap rekaan pakaian sukan jenama Noore akan menepati kesemua konsep itu di mana kami telah mendapatkan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan termasuk tokoh agama, kasihatan dan sebagainya.

Tambahnya satu ciri unik yang terdapat pada pakaian sukan jenama itu adalah bahan material yang digunakan mampu menapis 30 peratus sinar UV.

Sementara itu pada masa yang sama Mohd Fadzil memaklumkan, syarikat Asean Market Gateaway yang merupakan anak syarikat di bawah kumpulan itu akan membuka pejabat mereka di Indonesia dalam masa terdekat untuk membawa masuk beberapa lagi jenama dari Indonesia ke pasaran tempatan.

Leave a Reply