Cart

RAUDHAH CITY 6 Dis. – Lebih 40 peniaga muslim akan mengambil bahagian sempena program Karnival Kembali ke Sekolah yang julung kali diadakan bermula esok di pusat beli belah Malakat Mall, Cyberjaya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim, karnival itu yang diadakan pada setiap hujung minggu sepanjang bulan Disember ini akan memberi peluang kepada peniaga muslim khususnya untuk berniaga dalam pusat beli belah tersebut.

“Walaupun Malakat Mall belum dibuka secara rasmi lagi, kita telah mendapat lesen untuk menjalankan perniagaan di dalam Malakat Mall yang mana ia khusus untuk memberi peluang dan ruang kepada peniaga Melayu muslim berniaga dalam pusat beli belah.

“Jika mengikut perancangan, pembukaan secara rasmi Malakat Mall ialah pada bulan Mac tahun hadapan jadi untuk kali ini, kita bagi peluang kepada peniaga separuh masa, atas talian, pasar tani dan sebagainya untuk berniaga dalam program ini,” katanya kepada Malakat Tribune di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 80 jemaah mengadakan solat hajat, majlis bacaan Yassin dan doa selamat sempena pembukaan karnival tersebut esok.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, bagi memudahkan orang ramai hadir, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan bas perantara khususnya untuk penduduk di sekitar Putra Perdana.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin hadir ke sini juga tidak perlu risau dengan lokasi Malakat Mall kerana ia terletak bersebelahan pusat beli belah, D’Pulze, Cyberjaya dan mempunyai kemudahan meletak kenderaan mencukupi.

Dalam pada itu, Mohd. Fadzil yang juga pencetus idea pembinaan Malakat Mall melahirkan perasaan terharunya dengan sokongan orang ramai terhadap pusat beli belah itu.

“Malam ini kita adakan solat hajat yang pertama di sini dan yang lebih mengharukan saya apabila ada yang kata walaupun tak boleh datang tetapi mereka mengadakan solat hajat di rumah masing-masing untuk kejayaan Malakat Mall.

“Pada saya ini sangat luar biasa kerana sepanjang saya meniaga dalam tempoh 20 tahun, saya tidak pernah mendapat sambutan sebegini, tetapi hari ini selepas kempen BMF, ramai orang Islam sudah mula sedar bahawa kita perlu bangkit untuk menyatukan kekuatan bangsa dan ummah kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Istighfar Hamidon berkata, objektif program tersebut ialah untuk menyambut program kembali ke sekolah dan untuk orang ramai melihat sendiri Malakat Mall iaitu sebuah pusat beli belah yang menjual sepenuhnya barangan BMF dan khusus untuk peniaga muslim.

“Ini merupakan platform yang kita tiada sebelum ini, siapa yang berminat boleh masuk sahaja. Tiada deposit dan lain-lain hanya dikenakan 10 peratus revenue sharing (perkongsian keuntungan),” katanya.

Menyentuh lebih lanjut, katanya, pihaknya masih membuka peluang kepada peniaga yang berminat untuk berniaga dalam pusat beli belah itu sepanjang karnival tersebut berlangsung.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi terus Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim di talian 0163914425 untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply