Cart

RAUDHAH CITY – Malakat Mall terus mendapat perhatian apabila menjalin kerjasama dengan Arab Asian Trade (AAT) dalam memasarkan beberapa produk dari Timur Tengah, benua Afrika dan China ke pusat beli belah itu.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik diadakan di Kompleks Brainy Bunch di sini antara Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Fadzil Hashim bersama Pengasas AAT, Mohamad Marwan Fattal hari ini.

Mohd. Fadzil berkata, AAT merupakan sebuah portal dan majalah yang mengumpulkan usahawan, pengedar dan pengeluar produk dari negara-negara Arab, benua Afrika dan Taiwan berdagang dengan beberapa negara lain di Asia.

Tambah beliau, pengasas majalah itu juga turut membantu memasarkan produk dari negara lain ke benua Arab yang mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Beliau juga telah menetap selama 40 tahun di Taiwan dan sangat mahir dalam urusan import dan eksport.

“Kerjasama antara Malakat Mall dan AAT akan membolehkan produk usahawan dari benua Arab memasarkan produk mereka ke pusat beli-belah ini. Ini peluang usahawan bumiputera membawa masuk produk dari benua Arab sama ada sebagai peruncit atau pengedar di negara ini,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Fadzil menambah, Mohamad Marwan juga turut mengalu-alukan pengeluar dan pengedar produk bumiputera dalam portal dan majalah miliknya bagi meluaskan lagi pasaran mereka ke negara-negara lain.

“Portal dan majalah AAT mempunyai lebih 200,000 pedagang dan pembeli dari Arab yang membuka ruang kepada usahawan bumiputera untuk mengeksport produk mereka ke benua tersebut,” ujarnya.

Ditanya sama ada produk-produk di dalam Malakat Mall berpeluang menembusi pasaran di benua Arab, beliau berkata, pusat beli-belah itu mempunyai 11 jenama yang berpotensi untuk dikembangkan di sana.

“Sebagai contoh, kita mempunyai restoran halal, Casa Madini yang merupakan satu-satunya restoran halal terbaik. Kemungkinan jenama ini boleh dikembangkan di sana sekali gus mengangkat jenama Malaysia di luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Marwan memberitahu, pihaknya bersedia memasukkan beberapa produk dari Turki, China dan benua Arab untuk dipasarkan dalam Malakat Mall.

Katanya, kerjasama itu akan membolehkan pedagang arab memasarkan produk di pusat beli-belah itu selain peluang usahawan tempatan mengeksport produk mereka ke benua tersebut.

“Saya mengalu-alukan usahawan, pengeluar dan pengedar bumiputera terlibat dalam portal serta majalah AAT bagi meluaskan produk mereka ke negara-negara arab,” ujarnya.

Leave a Reply