Cart

RAUDHAH CITY – Malakat Mall Sdn. Bhd., menjalin kerjasama strategik dengan Alhijrah Media Corporation dalam mempromosikan pusat beli belah itu yang bakal beroperasi di Cyberjaya di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, kerjasama itu akan menyebarluaskan lagi maklumat terkini mengenai perjuangan pusat beli belah itu untuk menyediakan ruang kepada usahawan Muslim membina perniagaan di situ.

Tambah beliau, usahawan yang membawa produk masing-masing dalam Malakat Mall akan dibimbing secara tersusun dan sistematik untuk menjadi jenama pilihan utama masyarakat di negara ini.

“Jalinan kerjasama dengan Alhijrah diharap usahawan terbabit mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih luas lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara Malakat Mall dan Alhijrah Media di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Pada majlis tersebut Mohd. Fadzil menandatangani MoU ibersama Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Namanzee Harris.

Dalam majlis itu juga Mohd. Fadzil yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch turut menandatangani dan menyaksikan MoU Kolaborasi Strategik dengan AlFaris Knights, Wira Silat, Tigre Football, The Sekolah Bola dan Akademi Bola Sepak Brainy Bunch.

Mohd. Fadzil menambah, pihaknya akan menyediakan pakej pengiklanan mampu milik khusus untuk usahawan kecil mempromosikan perniagaan untuk pengiktirafan bersama stesen televisyen itu.

“Kami berharap lebih ramai lagi usahawan dan pengguna mendapat berita terkini berkaitan Malakat Mall dan aktiviti yang diadakan bagi mengubah ekosistem ekonomi negara.

“Selain itu ia akan membantu rakyat menambah pendapatan dan meningkatkan martabat produk serta perkhidmatan perniagaan milik bumiputera,” ujarnya.

Leave a Reply