Cart

RAUDHAH CITY – Segala persiapan di pusat beli belah Malakat Mall yang akan dibuka kepada orang ramai 1 Mac ini hampir siap 70 peratus.

Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim berkata, barang-barang keperluan di setiap kedai ada yang telah sampai selain dalam proses penghantaran.

“Ketika ini semua peringkat sedang bertungkus lumus untuk menyiapkan segala kerja bagi memastikan sasaran untuk Malakat Mall dibuka pada 1 Mac tercapai.

“Di aras bawah sudah 70 peratus siap dan aras satu 60 peratus, kita tawakal dan optimis pusat beli belah ini dapat dibuka pada 1 Mac,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mengulas mengenai keperluan tenaga kerja, Farah Hazwani berkata, permohonan jawatan kosong untuk semua bahagian di Malakat Mall ketika ini ditutup buat sementara waktu.

Malakat Mall

“Untuk jawatan kosong, kita sudah tutup untuk sementara waktu kerana perjawatan telah penuh diisi. Setakat ini 120 pekerja telah lapor diri dan ada lagi yang belum,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah Hazwani berkata, lebih 2,000 produk akan dipasarkan di pasar raya Raudhah Grocer yang beroperasi di aras bawah pusat beli belah itu.

“Pelbagai barangan dipasarkan di Raudhah Grocer, Alhamdulillah dengan adanya pasar raya ini, kita dapat bantu para usahawan majukan produk masing-masing,” katanya.-MT

Leave a Reply