Cart

RAUDHAH CITY- Berita baik buat ‘Ekor’ Harimau Malaya apabila mereka boleh mendapatkan baju, topi, mafla dan pelbagai lagi barangan untuk menyokong skuad negara di Malakat Mall.

Produk itu akan dipasarkan di Tahan Sports di Malakat Mall yang akan dibuka pada Mac ini melalui Capo Apparels yang diasaskan oleh Mohd. Ridzuan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lekir.

Menurut Mohd. Ridzuan, segala keperluan pemain ‘ke-12’ untuk menyokong skuad negara akan dipasarkan di Tahan Sports dan ini kelainan yang dibawakan untuk para penyokong.

“Sebelum ini produk-produk itu dijual secara dalam talian dan juga di stadium. Alhamdulillah, kali ini peluang hadir untuk saya memasarkan produk dalam pusat beli belah yang akan dibuka Mac ini.

“Produk ini lambang kesayangan Ekor Harimau Malaya kepada skuad negara, kita sebagai pemain ‘ke-12’ patut sokong pemain kita di mana jua mereka beraksi. Mari bergabung untuk sokong.

“Pelbagai barangan akan dipasarkan termasuk ‘topi merah’ yang menjadi ‘trademark’ yang pernah disebut oleh Tunku Mahkota Johor sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Ridzuan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengurus Tahan Sport, Mohd. Fuad Rahim sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim.

Mengulas bagaimana beliau boleh ditawarkan untuk memasarkan produk Ekor Harimau Malaya di Tahan Sports, Mohd. Ridzuan berkata, peluang itu ditawarkan sendiri oleh pihak pengurusan Malakat Mall.

“Coach Fadzil (Mohd. Fadzil) merupakan orang pertama yang mengajak saya memasarkan produk di Malakat Mall, Alhamdulillah dengan bimbingannya saya berada di sini dan terpanggil untuk mengubah situasi,” katanya.

Lebih menarik, dalam majlis yang berlangsung di Auditorium Kompleks Brainy Bunch itu, Lekir mengetuai ‘chant’ lagu tradisi Ultras Malaya sambil diikuti oleh orang ramai yang turut menghadiri majlis berkenaan.

Dalam majlis sama, bekas kapten bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim turut menandatangani MoU untuk memasarkan produk jenama sukan miliknya, Sportsrevo di Tahan Sports.

Leave a Reply