Cart

RAUDHAH CITY – Rangkaian pasar raya Raudhah Grocer yang bakal memulakan operasi di pusat beli-belah Malakat Mall di sini menawarkan lebih 2,500 produk keluaran Muslim dan bumiputera.

Raudhah Grocer yang akan memulakan operasi serentak dengan pembukaan Malakat Mall di Cyberjaya pada 13 Mac ini juga bakal menjadi contoh terbaik kepada permulaan ekosistem perniagaan Islam pertama di dunia.

Selain produk-produk popular, pasar raya ini juga merupakan platform yang menawarkan peluang kepada usahawan serta peniaga dari seluruh negara memasarkan produk secara berpusat untuk pasaran Lembah Klang dan Selangor.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Istighfar Hamidon berkata, sebahagian daripadanya terdiri daripada jenama-jenama yang belum popular di Lembah Klang tetapi sudah lama mendapat tempat di negeri-negeri laij seperti Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.

“Dalam sektor barangan keperluan harian, kita ada pelbagai produk seperti sabun pencuci, alat kosmetik, makanan kesihatan tambahan, minuman dan makanan ringan.

“Setakat ini kami ada lebih 2,500 produk dan bagi usahawan berhasrat menyertai komuniti perniagaan kami, mereka boleh berjumpa dengan pihak pengurusan.

“Di Raudhah Grocer, kami masih mempunyai ruang untuk tambahan kira-kira 500 produk lagi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas mengenai persediaan pembukaan pusat beli-belah itu, Istighfar berkata, Malakat Mall akan beroperasi operasi dengan kelompok perniagaan utama.

Antaranya Casa de Madani, Bunch-oh, Iqra Read Bookstore, Tahan Sports, Jojo Shoes, Petak, Conteng, Eebu, C&E, 2358 Fashion, Himawari, Togomen Homme dan DIY Malaya.

“Alhamdulillah dah semakin dekat, sekarang semua pihak sedang rancak bekerja 24 jam sehari untuk memastikan persiapan berjalan lancar,” ujarnya.

Selain itu katanya, sempena pembukaan Malakat Mall, pelbagai acara turut dirancang termasuk
karnival jualan sempena Aidilfitri.

“Lot-lot perniagaan karnival raya di aras dua dengan keluasan 10 X 10 kaki telah mula dijual. Kira-kira 100 tapak ditawarkan.

“Berbeza dengan tapak perniagaan di pusat beli-belah lain, di Malakat Mall peniaga tidak dibebani dengan bayaran yang mahal kerana menggunakan konsep profit sharing tanpa caj tapak.

“Alhamdulillah ramai usahawan kita yang nampak peluang ini dan telah pun memohon,” katanya.

Sementara itu, bagi seksyen F&B, Malakat Mall menyediakan jenama Bunch-Oh! yang menawarkan sajian berkonsepkan Oyster Box, pizza, kebab, sushi dan sizzling manakala restoran Casa de Madina menyajikan hidangan fine dinning.

Tarikan lain di Malakat Mall termasuk pelbagai cabaran sukan ekstrem seperti rentasan zipline, ‘wall climbing’ dan taman papan selaju yang terletak di tingkat tiga bangunan tersebut.

Leave a Reply