Cart

RAUDHAH CITY – Golongan wanita yang inginkan rawatan spa tradisional Melayu berpeluang mendapatkannya di Pusat Kecantikan Wanita Tun Teja yang akan dibuka di Malakat Mall di sini pada 1 Mac ini.

Lebih bermakna rawatan spa yang menggunakan produk Safah Herbs Beauty Recipe itu turut ditawarkan kepada kanak-kanak.

Menurut pemilik Safah Herbs, Fauziah Mohd. Fuad, pihaknya bekerjasama dengan Tun Teja bagi memberi rawatan spa tradisi Melayu yang kurang diamalkan oleh masyarakat ketika ini.

Katanya, rawatan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki itu turut ditawarkan kepada kanak-kanak yang mengikut ibu mereka ke pusat kecantikan tersebut.

“Kelebihan pusat kecantikan ini bukan sahaja untuk wanita tetapi juga kanak-kanak akan menerima rawatan spa di situ.

“Kebiasaannya kalau wanita mahu membuat rawatan spa terpaksa tinggalkan anak dan tergesa-gesa melakukannya. Melihat keadaan itu, kita buat sekali rawatan spa kepada kedua-duanya,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pendidikan Brainy Bunch di sini hari ini.

Terdahulu satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara gedung pakaian dan peralatan sukan Tahan Sports; jenama sukan milik bekas kapten pasukan bola sepak Harimau Malaya Safiq Rahim, Sportsrevo; pengeluar produk penyokong sukan bola sepak Capo Apparel; Salun dan Pusat Kecantikan Wanita Tun Teja dan pengeluar produk kecantikan tradisional, Safah Herbs Beauty Herbs Recipe.

Majlis itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Tambah Fauziah, selain rawatan spa pihaknya juga turut menawarkan perkhidmatan bagi wanita bersalin, bakal pengantin dan lain-lain.

Katanya, tidak ramai usahawan atau pemilik pusat kecantikan menjalankan perniagaan berasaskan rawatan spa tradisi Melayu.

“Rawatan spa ini perlu dibudayakan kerana selama ini masyarakat hanya mengenali spa Bali dan Thailand.

“Kita berharap ia bukan sahaja dikenali di Malaysia tapi diluar negara kerana rawatan spa tradisi Melayu mempunyai kelembutan tersendiri,” ujarnya.

Leave a Reply