Cart

CYBERJAYA – Satu kempen akan dijalankan dalam mendidik masyarakat Islam menyimpan dirham melalui Raudhah Dirham yang akan dilancarkan semasa pembukaan Pusat Beli-Belah Malakat Mall nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim berkata, Raudhah Dirham merupakan kempen menukar duit syiling yang kebanyakan masyarakat menyimpan di dalam tabung.

Tambah beliau, melalui kempen itu, mereka boleh menukar syiling di dalam tabung kepada dirham kerana nilainya sukar susut berbanding syiling biasa.

“Dirham tidak mahal sangat berbanding Dinar kerana ia diperbuat daripada perak dan nilainya sukar untuk susut.

“Buat permulaan kita tempah sebanyak 10,000 keping Raudhah Dirham semasa pembukaan Malakat Mall nanti,” katanya selepas Mesyuarat Pemilik Kedai Muslim, Pelabur Baharu dan Pemilik Produk Muslim siri dua di Kompleks Brainy Bunch di sini hari ini.

Satu majlis prapelancaran Raudhah Dirham diadakan dalam mesyuarat tersebut yang turut dirasmikan Ketua Prasarana Kempen BMF Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Noor Izzat Johari.

Tambah Mohd. Fadzil yang juga Pengasas Muslim Distribution Centre (Muslim DC), sasaran fasa pertama adalah mengajar masyarakat menukar syiling kepada dirham manakala fasa kedua pula mewujudkan pelan simpanan khususnya kepada pelajar sekolah.

“Pelan Simpanan itu akan membolehkan seorang pelajar menyimpan satu dirham satu bulan. Kita sasarkan seramai satu juta pelajar di seluruh negara berbuat demikian. Selain itu golongan dewasa juga turut dialukan mengikuti plan simpanan itu,” ujarnya.

Ditanya mengenai pembelian secara dalam talian, beliau memberitahu, perkara itu akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Apabila dilancarkan nanti orang ramai boleh membelinya secara dalam talian. Kita juga akan mewujudkan satu program iaitu mereka yang menghantar alamat sesawang tersebut akan turut sama menerima sedikit jumlah dirham yang dipromosikan,” katanya.

Leave a Reply