Cart

RAUDHAH CITY-Restoran Casa De Madani di Malakat Mall yang merupakan ‘halal fine dining’ pertama di Malaysia akan dibuka kepada umum pada Mac ini.

Casa De Madani menampilkan kelainan kerana menyajikan sajian bertaraf dunia berkonsepkan gaya Eropah moden dengan rasa Asia kepada para pelanggannya.

Bagi menepati citarasa dalam konsep Eropah moden, pengurusan Casa De Madani berbelanja besar untuk ‘mengikat’ chef terkemuka dan pakar dalam bidang itu.

Chef yang dimaksudkan ialah Mohd. Azizan Shukri yang akan berperanan sebagai Master Chef Casa De Madani yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam dunia masakan.

Chef Mohd. Azizan ketika ditemui berkata, tampil dengan konsep Eropah moden, Casa De Madani akan menyediakan sajian yang murah, halal, sedap dan berkualiti tinggi.

Chef Mohd. Azizan adalah pakar dalam bidang masakan Eropah moden dan telah mendapat pengiktirafan dari beberapa negara seperti Turki, Cyprus, Jerman dan Bulgaria.

“Casa De Madani adalah halal fine dining, jadi kami akan menyediakan kepelbagaian sajian kepada pelanggan bermula makan tengahari sehingga makan malam.

“Harga yang kami tawarkan kepada pelanggan juga amat berpatutan, antaranya ialah untuk set makan tengah hari bermula RM30 dengan pelbagai menu pilihan menarik.

“Mungkin anda terfikir, mengapa sajian Eropah moden murah?, jangan risau kami tawarkan harga berpatutan tanpa menghilangkan sebarang rasa Eropah,” katanya.

Menurut Chef Mohd. Azizan, beliau akan memastikan kualiti sajian di Casa De Madani terjamin dan berada dalam keadaan baik sekali gus memuaskan hati para pelanggan.

“Saya menggunakan bahan-bahan segar dan berkualiti tinggi dalam proses masakan. Saya juga akan merasa setiap hidangan 12 chef kendalian saya,” katanya.

Secara keseluruhan katanya, terdapat lebih 80 menu sajian tersedia di Casa De Madani dengan harga yang ditawarkan amat berpatutan dan mampu milik untuk para pelanggan.

“Di sini pilihan terbaik bermula dari pembuka selera sup antipasto canapes dan salad serta pelbagai jenis makanan laut seperti undang kara hidup, hokaido scallop dan daging berkualiti tinggi wagyu A5,” katanya.

Selain itu katanya, antara hidangan lain menanti pelanggan ialah ‘Mb 9 wagyu aussie pan roasted oven wood Japanese sweet potato vinaigrette dates’ dan ‘slow oven cajun cod fish mango salsa momotaro tomato Madagascar vanilla pod honey hollandaise finished’.

Menjawab soalan mengapa beliau memilih menyambung kerjaya di Casa De Madani, Chef Mohd. Azizan berkata, beliau ingin mencari kelainan di restoran halal.

“Di restoran ini ada kelainannya, kami berkonsep halal dalam semua aspek. Mungkin ada yang terkejut jika saya katakan, semua pekerja di dapur perlu mengambil wuduk sebelum mulakan tugas.

“Untuk masakan barat, resepi luar negara mungkin ada campuran bahan tidak halal. Tetapi, di sini kita pastikan semua halal serta kesegaran bahan di titik beratkan untuk memastikan kawalan mutu yang ketat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ‘central kitchen’ Malakat Mall yang memainkan peranan membekalkan makanan di pusat beli belah itu telah mendapat sijil pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Leave a Reply