Cart

Ulama terkenal Indonesia, Kiai Dr. Zainul Ariffin berkata, sebagai saudara umat Islam perlu lupakan segala perbezaan yang ada dan mencari titik persamaan untuk terus berjaya.

Katanya, untuk terus kekal bersama umat Islam perlu hindarkan perasaan pentingkan diri sendiri kerana sifat sedemikian boleh menghancurkan tali persaudaraan yang telah terjalin.

“Kita perlu ambil barakah dalam persaudaraan sesama muslim, saya datang dari seberang (Indonesia) dengan tidak bawa ilmu sebab di sini sememangnya pusat ilmu.

“Saya datang hanya bawa satu kata ‘cinta’, saya berasa seperti saudara. Saya yakin, saya diterima di sini adalah kerana saya dianggap sebagai saudara dan kita semua adalah saudara.

“Sebagai saudara, mari kita lupakan perbezaan walaupun dalam realiti kehidupan sememangnya kita berbeza. Jika dicari perbezaan akan ada 1,001 perbezaan yang timbul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah dalam program Munajat Perdana Kebangkitan Ekonomi Islam yang disertai hampir 2,000 jemaah di Malakat Mall baru-baru ini.

Turut hadir mengimarahkan program itu ialah Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Menurut Dr. Zainul, sekiranya umat Islam ingin bersatu untuk lupakan perbezaan, mereka perlu mengekalkan satu ikatan dan satu kata iaitu persaudaraan yang paling erat.

“Kita adalah satu saudara, hari ini kita berkumpul di Malakat Mall ini sebabnya kita satu saudara. Ini sebenarnya adalah satu langkah kecil untuk menuju kejayaan yang lebih besar.

“Kita patut berterima kasih kepada Coach Fadzil (Mohd. Fadzil) kerana satukan kita, cuba fikirkan kenapa dia tidak bawa kita ke masjid atau surau tetapi bawa kita ke pusat beli belah ini.

“Aneh tetapi nyata, di sini kita bukan minta doa semata-mata tetapi, kita diminta berfikir tentang ekonomi yang mana perkara itu mungkin sebelum ini kita tidak pernah fikir pun,” katanya.

Sebelum ini katanya, ada yang telah bercakap mengenai penindasan, sebenarnya umat Islam di sini perlu berterima kasih kerana apabila ditindas kita akan bangun bangkit melawan.

“Jadi, malam ini kita bangkit kerana urusan ekonomi sangat penting sehingga Allah mengaitkannya dengan ibadah seperti mana yang dimuatkan dalam surah-surahnya.

“Ekonomi ada hubungan dengan ibadah, maka setiap apa yang kita makan kita perlu tahu halal atau haram sumber makanan kita dari awal proses pembuatannya.

“Malam ini, mari kita bersama-sama menadah tangan berdoa agar segala urusan membangunkan ekonomi Islam ini dipermudahkan jalannya,” katanya.

Pada program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan ekonomi Islam itu, Malakat Mall mencatat sejarah kerana menjadi pusat beli belah pertama yang mengadakan program seumpama itu.

Program itu disertai hampir 2,000 jemaah terdiri dari golongan agamawan termasuk para ulama terkenal, lebih 1,400 pelajar tahfiz dari seluruh negara, mudir-mudir, serta wakil daripada NGO-NGO Islam Malaysia.

Program yang bermula pukul 5 petang itu dimuatkan dengan sesi solat, tazkirah, zikir munajat, solat hajat dan doa supaya usaha mengembalikan ekonomi Islam melalui jualan dan peruncitan di Malakat Mall menjadi mercu kebangkitan Ekonomi Islam.

Leave a Reply