Cart

RAUDHAH CITY- Bekas kapten bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim hari ini secara rasmi diperkenalkan sebagai usahawan yang akan memasarkan produk sukan di pusat beli belah Malakat Mall.

Produk pemain tengah Melaka United dengan jenama Sportsrevo itu akan dipasarkan di Tahan Sport iaitu sebuah kedai sukan di Malakat Mall yang akan dibuka secara rasmi pada Mac depan.

Safiq berkata, melalui Sportsrevo, beliau berhasrat untuk menjadi antara pencetus menaikkan produk sukan tempatan seperti mana telah dilakukan oleh beberapa jenama terkemuka di Thailand.

“Kita sebenarnya tiada lagi produk sukan jenama tempatan ‘dari atas sampai bawah’. Saya mahu cetuskan perkara ini, dengan sokongan semua saya yakin produk ini akan berjaya dan mampu diketengahkan.

 

“Kualiti pakaian sukan Sportsrevo amat baik dan setanding dengan jenama terkemuka. Harganya pula amat berpatutan, kami berikan kualiti terbaik dengan harga mampu milik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Safiq menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengurus Tahan Sport, Mohd. Fuad Rahim sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim.

Safiq memaklumkan, peluang untuk bekerjsama dengan Tahan Sports di Malakat Mall adalah platform terbaik memasarkan lagi produk sukan Sportsrevo yang telah diasaskannya sejak setahun lalu.

“Kami di Sportsrevo memasarkan semua jenis barangan sukan dan buat masa sekarang fokus diberikan kepada keperluan barangan sukan bola sepak dan larian. Selepas ini, kita akan rancang pelbagaikan lagi produk.

“Saya juga merancang untuk buka akademi bola sepak dengan kerjasama Kumpulan Brainy Bunch, usaha ini dapat membantu bekas-bekas pemain profesional dan dalam masa sama mencurahkan pengalaman yang ada,” katanya.

Mengulas lanjut, Safiq berkata, jersi jenama Sportsrevo pada tahun lalu telah dipakai oleh pasukan Selangor United dalam saingan Liga Perdana dan pada musim ini akan dipakai oleh pasukan Melaka City United di Liga M3.

“Alhamdulillah jenama Sportsrevo mula dikenali, kita ambil langkah demi langkah dan saya menyasarkan pada 2021 akan ada pasukan yang bersaing dalam Liga Super memakai jersi jenama tempatan ini. Kita akan berusaha mencapai sasaran itu.

“Kita ada perancangan besar, saya sendiri ada dalam arena ini. Jadi, saya tahu kehendak pemain yang mahukan keselesaan ketika beraksi. Dalam jangka masa panjang, saya harap pasukan negara juga akan pakai jenama tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kariernya ketika ini, Safiq berkata, beliau baharu sahaja pulang dari Bandung, Indonesia menjalani latihan pra musim dan perlawanan persahabatan.

“Alhamdulillah saya bebas dari kecedaraan, pada musim ini saya berharap Melaka United akan terus konsisten memberi saingan dan mencapai segala sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan,” katanya.

Leave a Reply