Cart

Coach Fadzil

CYBERJAYA – Pengasas Kumpulan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim menggariskan sembilan strategi yang telah diberikan keutamaan dalam usaha mewujudkan ekosistem baharu ekonomi Islam.

Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, strategi asas yang pertama ialah dengan merangka pelan pendidikan terbaik bagi memastikan anak-anak mencintai Allah dan juga Rasulullah.

Coach Fadzil berkata, strategi itu telah pun dilaksanakan melalui penubuhan ekosistem pendidikan terbaik yang bercirikan Islam oleh Kumpulan Brainy Bunch yang meliputi semua aspek.

“Kita mempunyai prasekolah Brainy Bunch, Brainy Bunch Primary, Brainy Bunch High School, Kolej Raudhah dan terbaharu Tadika Rakyat. Tidak lama lagi kita akan ada Universiti Raudhah.

“Kita berada dilandasan terbaik untuk melakukan perubahan dalam membentuk ekosistem ekonomi Islam yang baharu. Sebenarnya segala usaha ini telah digerakkan dan memerlukan sokongan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis taklimat kepada ibu bapa pada hari pendaftaran Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch bagi sesi persekolahan tahun baharu 2020 baru-baru ini.

Coach Fadzil berkata, strategi yang kedua ialah melalui hijrah dan membentuk bandar Islam moden pertama di dunia bagi menjadi contoh terbaik selain dapat mewujudkan masyarakat madani.

“Kita juga telah membuka peluang ini dengan merangka penempatan terbaik di Raudhah City, pelbagai kemudahan disediakan. Strategi seterusnya ialah memiliki lokasi pasaran sendiri.

“Pasaran sendiri ini termasuklah Malakat Mall yang akan dibuka pada Mac nnti, dan Strategi keempat ialah menguasai ‘supply chain’ dalam dalam semua rantaian berkepentingan.

“Manakala strategi kelima menubuhkan gerbang pembayaran sendiri seperti Raudhah Pay, keenam, mewujudkan pelaburan tanpa riba dengan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM),” katanya.

Sementara itu katanya, strategi seterusnya ialah
menubuhkan bursa saham halal dan beretika, platform hiburan yang beretika dan strategi terakhir ialah mewujudkan bank digital Islam.

“Pelaksanaan sembilan strategi yang digariskan itu diyakini dapat membantu anak-anak kita pada masa hadapan. Ingatkah apa sasaran sebenar untuk mereka nanti dan apa peranan yang kita mainkan,” katanya.

Dalam sesi taklimat itu, Coach Fadzil turut berkongsikan visi dan misi selain modul baharu yang akan digunapakai di Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch iaitu 44 Hari ADAB Reset.

“Kita sentiasa memperbaiki kurikulum. Mulai tahun ini, para pelajar yang memasuki high school menjalani latihan tujuh hari di kem latihan Eco Mellenium di Beranang, Selangor.

“Kita akan bina adab sebelum memberi ilmu pengetahuan di dalam kelas. Kita mahu mereka tinggalkan segala perkara-perkara yang tidak diperlukan selain memupuk semangat yang lebih baik,” katanya.-MT

Leave a Reply