Cart

JIKA sebelum ini anda gemar ke syurga beli belah di Bandung untuk shopping pelbagai barangan dan pakaian secara borong di Pasar Baru, kini anda hanya perlu ke Malakat Mall kerana kesemua barangan dari Bandung akan berada di situ tidak lama lagi.
Malakat Mall yang akan dibuka 1 Mac ini akan memasarkan ribuan barangan dari Pasar Baru Bandung menerusi satu usahasama strategik antara Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim bersama Ketua Setiausaha Himpunan Pedagang Pasar Baru Bandung, Yenda.
 
Satu majlis ringkas telah diadakan di Kompleks Brainy Bunch, Raudhah City di sini semalam bagi memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara Malakat Mall dengan Himpunan Pedagang Pasar Baru Bandung yang dianggotai lebih 5,000 peniaga. 

Bukan itu sahaja, MoU turut dimeterai bersama Etapasbar Ecomm Indonesia iaitu plaform baharu yang memasarkan barangan dari Pasar Baru Bandung secara online.

Mohd Fadzil berkata pihaknya berasa sangat bersyukur dan berbesar hati atas kehadiran wakil dari entiti besar itu untuk menyertai perjuangan kumpulannya memperkasakan ekonomi Muslim melalui Malakat Mall.

“Dalam kempen Buy Muslim First (BMF) yang dimulakan di Malaysia, memang banyak cadangan supaya kita sama-sama membantu barangan keluaran negara Islam bagi membantu ekonomi Islam,” katanya.

Mohd. Fadzil berkata, usaha tersebut digerakkan melalui inisiatif ASEAN Market Gateway iaitu anak syarikat Kumpulan Brainy Bunch yang diwujudkan untuk membawa keluar dan memasarkan produk-produk dari negara serumpun itu ke Malaysia.

Menurut Mohd Fadzil, kerjasama tersebut masih di peringkat awal, namun yakin dengan kekuatan yang ada daripada kumpulan pedagang tersebut untuk membina kekuatan yang cukup ampuh bagi mengembalikan kuasa ekonomi.

“Menerusi kerjasama ini kita yakin dapat mengembalikan semula kuasa ekonomi ke dalam tangan umat Islam selaku kuasa majoriti,” katanya.

Beliau berkata, kira-kira 20 hari menjelang pembukaan Malakat Mall, pihaknya akan mengenalpasti barangan-barangan yang boleh dibawa masuk secepat mungkin.

Sementara itu, Yenda berkata pihaknya yakin untuk bekerjasama kerana kedua-dua entity itu mempunyai misi dan visi yang sama iaitu meng mempunyai misi dan visi yang sama dalam menaikkan semula kuasa ekonomi umat Islam.

Menurut Yenda, Indonesia juga berdepan isu yang hampir sama apabila kuasa ekonomi dipegang oleh pihak luar, bukannya milik pribumi.

“Saya sangat yakin dengan usaha ini. Jangan fikir tentang hasil kerana kalau tidak melangkah pasti tidak ada hasil. Sebaliknya kalau kita melangkah bersama saya yakin akan ada kejayaan.

Dalam pengalaman saya, apa sahaja MoU jika disemat di hati dengan niat yang baik, kita teruskan melangkah sahaja. Jangan pernah tanya mengenai hasil kerana hasil sudah ada yang mengaturnya,” katanya.

Leave a Reply