Cart

RAUDHAH CITY – Jenama minuman segera berasaskan teh, Tea Amo akan membuka cawangan terbaharunya di pusat beli belah Buy Muslim First (BMF) pertama di Malaysia, Malakat Mall di Cyberjaya di sini.

Menurut rakan kongsi Tea Amo, Datuk Aziz Yusof, pembukaan cawangan baharunya itu selepas setahun beroperasi di cawangan pertama di SS15 Petaling Jaya memang sudah lama dinantikan dan berharap akan mendapat sambutan lebih menggalakkan daripada pelanggan.“Sejak kita beroperasi lebih setahun lalu maklum balas yang diterima sangat baik dan apabila kita berjumpa Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim atau Coach Fadzil, dia pun menunjukkan minat dengan produk ini dan dari situ kita sudah mula bekerjasama,” katanya yang ditemui Malakat Tribune sempena majlis Pra Pelancaran Malakat Mall baru-baru ini.

Selain Tea Amo yang akan menjadi salah satu kedai yang beroperasi dalam Malakat Mall apabila ia mula dibuka secara rasmi pada 1 Mac ini, terdapat lebih 30 kedai lain yang menjual pelbagai jenis produk seperti restoran, makanan, barangan keperluan harian, pakaian, penjagaan diri dan kesihatan, barangan pertukangan, barangan kelengkapan rumah, cenderahati dan lain-lain juga akan mengambil bahagian.

Dalam pada itu, Aziz berkata, antara keistimewaan produk berasaskan teh itu ialah kebanyakan bahannya dibuat daripada pengeluar tempatan berbanding produk sama dipasaran yang kebanyakan bahan utamanya diimport dari Taiwan dan China.Sementara itu, Aziz berkata, antara minuman paling laris dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan ialah teh susu taufa.

Lebih istimewa katanya, taufa yang diletakkan dalam minuman tersebut bersama bahan tambahan seperti gula hitam diproses sendiri di cawangannya di SS15.

“Dengan kerjasama bersama Coach Fadzil yang juga merupakan pelabur untuk produk ini, lebih banyak mesin baharu akan dibawa masuk dan lebih menarik bahan-bahan utama untuk produk ini boleh diproses di central kitchen di Malakat Mall yang telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pada masa sama, susun atur dan rekaan dalaman kedai Tea Amo juga akan direka dengan lebih menarik bagi memberikan pengalaman yang memuaskan dan tidak dapat dilupakan kepada pelanggan kami,” katanya.

Leave a Reply