Cart

RAUDHAH CITY 22 Dis.- Rata-rata peniaga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Malakat Mall kerana membuka ruang serta peluang kepada mereka untuk berniaga.

Malakat Mall ketika ini menyediakan platform kepada peniaga untuk berniaga sempeja Karnival Kembali Ke Sekolah di pusat beli belah berkenaan yang dijangka beroperasi secara rasmi pada Mac ini.

Seorang peniaga, Norhafizah Jamaludin berkata, peluang yang diberikan oleh Malakat Mall merupakan platform terbaik untuk menjual barangan kelengkapan persekolahan.

“Saya menyertai karnival ini sejak awal bulan lalu, Alhamdulillah sambutannya amat baik. Mereka yang tinggal di kawasan berdekatan datang untuk membeli kelengkapan persekolahan anak masing-masing.

“Saya menjual ‘pelekat sekolah’ pelbagai guna selain tudung dan barangan lain. Kemudahan yang disediakan di Malakat Mall juga amat baik serta menyenangkan peniaga dan pengunjung,” katanya.

Karnival berkenaan diadakan setiap hujung minggu sehingga akhir bulan ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang melibatkan kira-kira 30 peniaga pelbagai jenis barangan.

Sementara itu, Noor Laizee Abd. Jabar berkata, ibu bapa yang ingin membuat persiapan persekolahan anak-anak boleh berkunjung ke Malakat Mall kerana semua kelengkapan sekolah boleh didapati di situ.

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapat pelbagai diskaun menarik yang disediakan peniaga. Harga juga berpatutan, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para ibu bapa.

“Saya juga ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Malakat Mall kerana membantu para peniaga dengan tidak mengenakan sewa harian, inisiatif ini amat bermanfaat,” katanya yang menjual alat tulis dan bekas makanan.

Sempena karnival tersebut peniaga tidak dikenakan sewa, sebaliknya hanya memperkenal konsep ‘revenue sharing’ sebanyak 10 peratus dari hasil jualan.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Mohd. Hamzi Mohd. Yatim berkata, dia berkunjung ke Malakat Mall hari selepas melihat pelbagai promosi dalam media sosial.

“Saya tinggal di kawasan berdekatan, sejak akhir-akhir saya tengok banyak promosi tentang Malakat Mall jadi ambil peluang hari ini untuk datang bersama keluarga,” katanya.

Leave a Reply