Cart

RAUDHAH CITY – Para pengunjung pusat beli belah Malakat Mall yang akan dibuka pada Mac depan bakal menikmati tujuh minit paling bermakna setiap kali masuknya waktu solat.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, setiap tujuh minit masuknya waktu solat, segala urusan jual beli wajib dihentikan bagi memberi ruang untuk mendirikan solat.

Beliau berkata, di Malakat Mall, pengunjung dan peniaga boleh mengerjakan solat di mana-mana sahaja kerana pasar raya ini mesra Muslim tetapi adalah lebih baik untuk berjemaah.

“Keunikan Malakat Mall ialah apabila laungan azan masuk waktu solat, urusan perniagaan dihentikan tujuh minit. Peniaga dan pengunjung pun boleh bersolat berjemaah termasuk di lot-lot kedai.

“Selepas menunaikan kewajipan, mereka boleh meneruskan aktiviti masing-masing. Perkara seumpama ini tidak pernah lagi berlaku di mana-mana pusat beli belah di negara ini.

“Pada bulan Ramadan kita juga akan adakan solat tarawih di Malakat Mall selain operasi selama 24 jam pada hari tertentu. Untuk jayakannya kita perlukan sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan Ekonomi Muslim yang disertai hampir 2000 jemaah di Malakat Mall di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, selepas segala usaha dilakukan bersama para pencinta agama Islam, beliau sangat yakin kebangkitan semula para Mukmin yang akan mengembalikan kuasa ekonomi Islam.

Pada program Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan ekonomi Islam tersebut, Malakat Mall mencatat sejarah kerana menjadi pusat beli belah pertama yang menjayakan program seumpama itu.

Program berkenaan disertai hampir 2,000 jemaah yang terdiri daripada agamawan termasuk para ulama dari Indonesia, lebih 1,400 pelajar tahfiz dari seluruh negara, mudir-mudir, serta wakil daripada NGO Islam Malaysia.

Antara pengisian program yang bermula sejak pukul 5 petang itu ialah solat berjemaah, tazkirah, zikir munajat, solat hajat dan doa supaya usaha mengembalikan ekonomi Islam melalui jualan dan peruncitan di Malakat Mall menjadi mercu kebangkitan ekonomi Islam.

Leave a Reply