Cart

 
SEPANJANG berlangsungnya Majlis Munajat Perdana dan Solat Hajat Kebangkitan Ekonomi Islam di Malakat Mall malam kelmarin, pengasas pusat beli-belah Islam itu, Mohd Fadzil Hashim kelihatan begitu emosional terutamanya ketika alunan zikrullah dan doa oleh hampir 2000 jemaah.

Mohd Fadzil yang duduk di atas pentas bersama beberapa jemputan utama tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata.

Berkongsi rasa yang dialaminya, Mohd Fadzil berkata beliau terharu melihatkan sokongan luar biasa daripada golongan agamawan yang turut sama berdoa demi kejayaan Malakat Mall.

“Ini satu pengalaman luar biasa. Sejak lima atau enam tahun lalu kita mengimpikan kita bina Ruaudhah City, dan di Raudhah City kita nak doakan kita akan ada mall di mana kita adakan solat dan bermunajat.

Tapi hari ini semua itu menjadi satu realiti,” katanya.

Mohd Fadzil berkata biarpun doa-doa yang dibacakan disebut dengan mudah dan ringkas namun ia cukup bermakna buat dirinya yang memerlukan kekuatan.

“Kita perlukan kekuatan, kita telah berjuang walaupun dalam banyak kelemahan dan kekurangan, tetapi ALLAH SWT telah hadirkan sokongan.

Apa yang berlaku hari ini menandakan satu pengiktirafan kepada usaha-usaha kita selama bertahun-tahun.

Saya sudah nampak kejayaan. Saya nampak kejayaan yang pasti akan berlaku,” katanya.

Mohd Fadzil turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden Pembela Aminuddin Harun yang menyatakan sokongan beliau dan akan mengerakkan 300 NGO Islam yang punyai beratus ribu ahli.

” Beliau akan mengajak semua menjadi ahli NGO itu menjadi ahli KoPPIM. Ini sangat luar biasa dan tak pernah berlaku.

Selalunya sokongan hanya bersikap sementara tapi apa kita cetuskan dalam KoPPIM melalui projek-projek strategik adalah bersifat sistematik dan mempunyai target yang sangat jelas,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya kekuatan ini dapat digarap dan dikembangkan, beliau yakin penguasaan ekonomi dalam bidang runcit akan dikuasai orang Islam.

Beberapa ulama hadir memimpin majlis berkenaan termasuk ulamak Habib Agil Yahya; Kiyai Pasentren Wali Songo dari Indonesia, Kiai KH Dr Zainul Ariffin; Maulana Wan Tahir Al-Mazahiri; Presiden PPIM Datuk Nadzim Johan; Presiden Pembela Aminuddin Yahaya ; dan bekas Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali dan mudir-mudir serta pelajar tahfiz dari 30 sekolah pondok.

 

Leave a Reply