Cart

RAUDHAH CITY – Program Munajat Perdana Kebangkitan Ekonomi Islam pada 21 Januari ini di pasar raya Malakat Mall di sini dijangka dihadiri lebih 1,000 umat Islam termasuk tokoh dan ulama terkenal tempatan dan Indonesia.Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, program yang bertemakan ‘Doa Senjata Orang Mukmim’ itu merupakan antara sebahagian aktiviti pihaknya dalam memastikan pasar raya itu dikenali kepada orang ramai.

Menurut beliau, pihaknya memerlukan sokongan pelbagai pihak kerana cara pemasaran tidak boleh lagi dilakukan secara tradisional kerana Malakat Mall bukan satu perniagaan tetapi perjuangan memgembalikan kegemilangan ekonomi Islam.

Tambah beliau, program itu turut dianjurkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Program ini akan disertai pelajar-pelajar tahfiz dari lebih 30 buah sekolah pondok selain tokoh dan ulama terkenal dari Indonesia yang dibawa oleh Pembela.

“Antara ulama terkenal Indonesia akan hadir pada program itu ialah Kiai Dr. Zainul Ariffin. Beliau cukup terkenal di sana dan akan menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Ekonomi Umat Kuat Islam Akan Berdaulat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam program itu, selain Mohd. Fadzil yang akan menyampaikan ucapan, turut sama ialah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya.

Tambah Mohd. Fadzil, selain Kiai Dr. Zainul, seorang lagi tokoh agama akan turut menyampaikan tazkirah iaitu Maulana Wan Tahir Al Mazahiri yang bertajuk ‘Kewajiban Membangunkan Ekonomi Islam.’

Menurut beliau, kehadiran tokoh ulama dalam program itu merupakan satu pengiktirafan dalam perjuangan ekonomi umat Islam.

“Kehadiran tokoh-tokoh ulama ini menunjukkan bahawa perjuangan yang dilakukan ini adalah sangat penting bagi mengembalikan semula kekuatan kegemilangan ekonomi Islam,” ujarnya.

Katanya, di akhir program tersebut akan diadakan solat Hajat bagi mendoakan semoga Malakat Mall Menjadi pencetus dan pemangkin kepada kebangkitan ekonomi Islam.

Program tersebut akan bermula pukul 5.30 petang dan berakhir 11 malam di Malakat Mall.

Umat Islam yang berminat untuk menyertainya boleh mendaftar di bit.ly/munajatperdana sebelum tengah malam esok.

Leave a Reply