Cart

RAUDHAH CITY – Kerajaan digesa memberi sokongan kepada pengurusan Pasar Raya Malakat Mall supaya dapat meningkatkan ekonomi Muslim dan bumiputera di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, gesaan itu dilontarkan bagi mengubah jurang ekonomi antara Muslim dengan bukan Muslim yang masih tiada perubahan sejak 62 tahun lalu.

Tambah beliau, sokongan dan bantuan itu amat penting jika mahu melihat ekonomi masyarakat Muslim seimbang dengan bukan Muslim pada depan.

“Saya fikir kerajaan perlu berikan geran kepada Malakat Mall. Sepatutnya sejak 62 tahun lalu ekonomi umat Islam boleh berubah tetapi gagal kerana masalah ketirisan, rasuah dan lain-lain.

“Bagi saya, perjuangan Coach Fadzil (Mohd. Fadzil Hashim, Pengasas Malakat Mall) dengan pasukannya perlu dibantu kerajaan dalam merealisasikan ekonomi umat Islam dapat ditingkatkan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran Malakat Mall di sini hari ini.

Selain Mohd. Fadzil, turut hadir Pengerusi Eksekutif Setia Haruman, Ahmad Khalif Tan Sri Mustapha Kamal dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Tambah Aminuddin, jika jurang itu gagal diatasi maka dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun akan datang keharmonian negara akan kucar kacir kerana tiada keseimbangan dalam ekonomi.

“Sokongan rakyat terutama Muslim penting dalam menjayakan usaha ini terutama membeli produk keluaran Muslim,” ujarnya.

Ditanya mengenai Malakat Mall, Aminuddin berkata, pihaknya bersama 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki lebih setengah juta ahli akan menggerakkan kempen besar-besaran mempromosikan pasar raya itu yang akan dibuka pada 1 Mac ini.

Tambah beliau, pihaknya telah merangka strategi bagaimana mahu menjadikan pasar raya itu menjadi katalis kepada perniagaan Muslim di negara ini.

“Saya teramat yakin dengan kemampuan Coach Fadzil serta seluruh pasukannya kerana ia akan menjadi pencetus gerakan mengubah ekosistem ekonomi umat Islam yang boleh mengurangkan jurang antara Muslim dan bukan Muslim. Kita punyai komitmen itu,” ujarnya.- MT

Leave a Reply