Cart

Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Raudhah City, Mohd. Fadzil Hashim berkongsi ilmu dan pengalaman pada Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam di Kampus Brainy Bunch, Cyberjaya.

RAUDHAH CITY – Satu lagi pasar raya berkonsepkan Islam iaitu Malakat Mall akan dibangunkan di Masjid Tanah, Melaka dalam usaha memperluas eko sistem ekonomi Islam di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Fadzil Hashim berkata, pihaknya ditawarkan satu lagi premis untuk mewujudkan cawangan kedua Malakat Mall.

“Kita belum pun sempat merasmikan Malakat Mall di Cyberjaya, sekarang kita terima tawaran untuk buka satu lagi di Masjid Tanah Melaka.

“Ini sesuatu yang sangat luar biasa. Insyallah, ia akan menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen Kewangan Keusahawanan Islam (KKKI) di sini semalam.

Fadzil berkata, dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ekonomi Islam pada KKKI, Brainy Bunch telah ditawarkan modal dan dana untuk menjayakan projek berkenaan.

Antara individu yang menyatakan kesudian menyuntik dana bagi menjayakan pembangunan mini Malakat Mall itu adalah Pengurus Besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor. – MT

KKKI menampilkan sembilan individu berjaya dalam perniagaan antaranya Pengasas Kumpulan Brainy Bunch dan Raudhah City, Mohd. Fadzil Hashim; Ikon Usahawan Berjaya, Azlan Al Amin; Certified Master Trainer & Coach NLP, Fadzli Yusof dan Jurutera Forensik Kewangan, Zaidi Ismail.

Selain itu turut sama Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Mohd. Firdaus Azharuddin; Principal Irealty, Erman Taib; Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Dr. Razali Othman; Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dan Ketua Islamic Relief Malaysia, Zairushahfuddin. – MT

Bangunan milik MARA di Masjid Tanah, Melaka yang bakal menjadi premis operasi mini Malakat Mall tidak lama lagi.

Leave a Reply